Pelajar tingkatan 4 maut kemalangan

Gambar lokasi kejadian malam tadi yang sesak dengan orang ramai. (gamabr kecil: Gambar motosikal milik mangsa rosak teruk di bahagian depan yang tular dalam media sosial.)
Gambar lokasi kejadian malam tadi yang sesak dengan orang ramai. (gamabr kecil: Gambar motosikal milik mangsa rosak teruk di bahagian depan yang tular dalam media sosial.)
A
A
A

KUALA SELANGOR – Seorang pelajar tingkatan 4 maut dalam satu kemalangan di KM 44.3 Jalan Klang- Teluk Intan berhadapan pasaraya Tesco Kuala Selangor, malam tadi.

Dalam kejadian 9.37 malam itu, mangsa, Muhammad Azemi Yahya, 16, menunggang motosikal jenis Modenas Kriss seorang diri dalam perjalanan dari Kuala Selangor menghala ke Klang.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, mangsa dipercayai gagal mengelak lalu melanggar sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza yang sedang masuk ke simpang kanan jalan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan MPV itu tidak mengalami kecederaan.

“Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat dan kemudiannya dibawa untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Mahang, hari ini,” katanya.

Md Asri berkata, kes kemalangan ini masih disiasat Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kuala Selangor, Inspektor Che Mohd Shah Che Hussin di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian depan termasuk bengkok tayar depan manakala kenderaan MPV rosak di bahagian sebelah pintu kiri penumpang hadapan.

“Kesemua kenderaan dibawa ke IPD Kuala Selangor untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi tindakan susulan.

Artikel Berkaitan:

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian kemalangan terbabit diminta tampil ke balai polis berhampiran atau terus ke IPD Kuala Selangor untuk berkongsi maklumat,” katanya.