Ringgit pulih, dibuka tinggi berbanding dolar AS pagi ini

Nilai ringgit pulih semula dan dibuka tinggi berbanding dolar AS pada pagi Khamis. - Gambar hiasan
Nilai ringgit pulih semula dan dibuka tinggi berbanding dolar AS pada pagi Khamis. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Nilai ringgit pulih semula dan dibuka tinggi berbanding dolar AS pada pagi Khamis, dirangsang serta disokong oleh minat belian dan pengukuhan dalam harga minyak mentah, kata penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan berada pada paras 4.1890/1930 berbanding dolar AS berbanding 4.1935/1955 pada penutup Rabu.

Kenaikan harga minyak berlaku selepas perjanjian global untuk mengeluarkan rizab minyak mentah gagal meredakan kebimbangan terhadap gangguan bekalan, katanya.

"Kenaikan harga minyak ditambah pula dengan dolar AS yang lebih lemah kerana peserta pasaran masih mengambil sikap berhati-hati terhadap krisis yang sedang berlaku di Ukraine telah memberikan sokongan kepada ringgit," kata penganalisis itu kepada Bernama.

Sementara itu, MARC Ratings Bhd baru-baru ini berkata, pihaknya mengunjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras terendah dalam sejarah iaitu 1.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang akan datang pada 4 Mac.

Agensi penarafan itu menambah ia menjangkakan BNM meneruskan pendirian berhati-hati sambil mengekalkan penilaiannya terhadap prospek ekonomi dan inflasi.

"BNM telah berada dalam status quo ini sejak Julai 2020 untuk menyokong pemulihan ekonomi yang lemah,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, ringgit didagangkan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain, kecuali berbanding yen, menyaksikan wang tempatan meningkat kepada 3.6237/6275 daripada 3.6519/6544 sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0895/0926 daripada 3.0882/0899 pada penutup semalam, merosot berbanding pound Britain kepada 5.6061/6115 daripada 5.5807/5834 dan lemah berbanding euro kepada 4.6510/6555 daripada 4.6481/6503. - Bernama