Dua pertiga banduan jalani program pemulihan menjelang 2030

 Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
A
A
A

KAJANG - Kementerian Dalam Negeri menerusi Jabatan Penjara Malaysia menyasarkan dua pertiga banduan menjalani pemulihan dalam komuniti menjelang 2030, kata menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata program pemulihan dalam komuniti akan diperkasa bagi membolehkan penghuni menyesuaikan diri lebih awal bersama masyarakat dan memudahkan mereka kembali berperanan menjadi insan berguna.

Program pemulihan di luar tembok seperti Sistem Parol dan Perintah Kehadiran Wajib hendaklah diperluaskan sebagai program alternatif bagi mengatasi masalah kesesakan dalam penjara.

“Dengan jumlah kira-kira 39,000 banduan menerima manfaat program pemulihan di luar tembok penjara dan kadar residivis di bawah 0.5 peratus, program ini wajar diperluaskan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Penjara ke-229 bertemakan ‘Reformasi Penjara Masyarakat Sejahtera’ di Maktab Penjara Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir timbalannya Datuk Mohd Azis Jamman dan Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata kerjasama pihak swasta menerusi 'Corporate Smart Internship (CSI)' yang dilaksanakan kepada Orang Di Parol (ODP) juga menunjukkan perkembangan positif.

“Ketika ini, 44 buah syarikat swasta di 12 negeri melibatkan 2,005 ODP telah mengikuti program CSI sejak pelaksanaannya pada 2016.

“Manakala program Reintegrasi Penghuni Industri yang dilaksanakan bersama sebuah syarikat swasta di Sungai Petani, Kedah melibatkan 35 Orang Diselia juga menunjukkan kejayaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Muhyiddin berkata pihaknya akan memastikan penjara dilengkapi dengan prasarana lengkap dan sesuai seperti kemudahan rekreasi, peralatan keselamatan dan reka bentuk bangunan yang lebih sistematik.

“Program pemulihan penghuni pula akan dipertingkatkan keberkesanannya dengan melatih lebih ramai tenaga pengajar, menambah kelas pembelajaran dan memastikan kesesuaian program pemulihan,” katanya.

Muhyiddin juga turut mengumumkan pelaksanaan Hari Terbuka Penjara dan memberi kelonggaran kepada pihak penjara untuk memilih hari sesuai sepanjang bulan Mac sebagai hari terbuka.

Katanya, pelaksanaan hari terbuka itu diharap membina persepsi positif masyarakat kepada institusi penjara dan membantu penghuni membina semula keyakinan mereka. - Bernama