X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

MOM belum bincang sasaran pingat

Norza (tengah) pada sidang media persiapan menghadapi Sukan SEA Hanoi selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa pemilihan Sukan SEA di Wisma MOM pada Rabu.
A
A

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) masih belum memutuskan sasaran pingat buat kontinjen negara yang akan beraksi di temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam pada Mei depan.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, mesyuarat jawatankuasa pemilihan atlet ke Sukan SEA hanya tertumpu kepada proses pemilihan atlet yang mana perlu diputuskan sebelum tarik tutup pemilihan pada 12 Mac ini.

Katanya, pihaknya telah memutuskan seramai 770 orang membabitkan 574 atlet dan 196 pegawai akan dihantar ke temasya dwi tahunan itu sambil memaklumkan jumlah itu mungkin meningkat susulan masih terdapat beberapa lagi acara sukan yang akan berlangsung minggu ini membabitkan sukan olahraga, renang dan e-Sukan.

“Masih belum ada perbincangan berhubung sasaran pingat emas (Sukan SEA Hanoi). Mesyuarat kali ini melibatkan 37 persatuan bagi menentukan senarai pendek atlet yang layak beraksi.

“Selain itu, mesyuarat kali ini adalah untuk memastikan atlet yang disenaraikan menepati kriteria yang ditetapkan iaitu tiga terbaik untuk kategori A dan enam terbaik kategori B bagi acara individu dan empat tempat teratas untuk kategori A dan lapan terbaik bagi kategori B dalam acara berpasukan.

“Kontinjen negara ke Hanoi kali ini akan mengambil bahagian dalam 40 sukan dari 43 jenis sukan yang dipertandingkan,” katanya semasa sidang media selepas tamat mesyuarat jawatankuasa pemilihan atlet ke Sukan SEA pada Rabu.

Tambah Norza lagi, seramai 333 atlet lelaki dikenal pasti membabitkan 121 kategori A dan 212 kategori B manakala seramai 241 atlet wanita dengan pecahan 96 kategori A dan 145 kategori B pada ketika ini.

Pada edisi Sukan SEA Filipina 2019, kontinjen negara menghantar seramai 772 atlet dan 340 pegawai dengan kejayaan membawa pulang 56 emas, 57 perak dan 71 gangsa.

Untuk rekod, temasya Sukan SEA Hanoi bakal membuka tirainya pada 12 Mei hingga 23 Mei membabitkan 43 jenis sukan dengan 461 acara akan dipertandingkan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!