90 perlawanan Liga Premier di YouTube MFL

Gambar kecil: Stuart
Gambar kecil: Stuart
A
A
A

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengambil pendekatan proaktif merancakkan saingan Liga Premier 2022 dengan menyajikan siaran langsung semua perlawanan Liga Premier menerusi platform media sosial YouTube MFL.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, tayangan siaran langsung perlawanan Liga Premier musim ini pastinya satu perkhabaran gembira buat penyokong bola sepak tempatan yang amat dahagakan aksi saingan itu.

“Umum mengetahui siaran langsung buat Liga Premier sejak dua tahun kebelakangan ini sedikit terjejas disebabkan pandemik Covid-19 yang menyerang seluruh dunia pada Mac 2020 dan Liga Premier tidak terkecuali menerima tamparan ini.

“Demi kepuasan penyokong-penyokong, MFL sedang berusaha mengelak isu teknikal stadium untuk menyiarkan siaran langsung kesemua 90 perlawanan Liga Premier musim. Jika segala berjalan lancar MFL akan menyiarkan 90 perlawanan Liga Premier 2022 bagi memastikan kemeriahan Liga Malaysia dapat dinikmati semua penyokong,” katanya.

Selain Siaran Langsung perlawanan Liga Premier, Stuart mengesahkan siaran langsung Liga Super musim 2022 diteruskan menerusi platform rasmi unifi di saluran unifi Sports 1-5 dan platform media sosial rasmi YouTube unifi.

“Semua orang boleh menikmati kesemua siaran langsung Liga Super 2022 di lima saluran unifi Sports yang telah disediakan di kotak televisyen (TV Box) atau aplikasi unifi PlayTV yang boleh dimuat turun dari Google PlayStore atau Apple App Stores. Apa yang anda perlukan adalah daftar dan masuk secara percuma.

“Siaran langsung Liga Super 2022 sebanyak 132 perlawanan juga boleh dinikmati melalui saluran YouTube rasmi milik unifi sementara platform Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga disediakan untuk satu perlawanan terpilih pada setiap minggu,” katanya.

Saingan Liga Premier 2022 yang akan bermula Sabtu ini akan melibatkan 10 pasukan, iaitu Johor Darul Ta’zim II, Kelantan FC, Kelantan United FC, Kuching City FC, PDRM FC, Perak FC, Selangor FC 2, Skuad Projek FAM-MSN, Terengganu FC II dan UiTM FC.

Artikel Berkaitan: