Rundingan ECRL muktamad sedikit masa lagi

Dr Mahathir. Foto Sinar Harian: Zahid Izzani
Dr Mahathir. Foto Sinar Harian: Zahid Izzani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rundingan semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan China yang kini diketuai Tun Daim Zainuddin akan dimuktamadkan sedikit masa lagi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sekiranya rundingan berhasil, kerajaan yakin projek itu akan diteruskan dengan skala lebih sesuai.

"Kerajaan telah lantik Tun Daim sebagai utusan khas Perdana Menteri bagi mengetuai proses rundingan semula projek ECRL dengan China supaya penyelesaian menang-menang dapat diperolehi. Hasil rundingan ini akan dimaklumkan apabila ia dimuktamadkan sedikit masa lagi.

"Jika usaha rundingan semula ini berhasil, kerajaan yakin projek ECRL akan diteruskan pada skala sesuai dengan manfaat bakal dijana oleh kesejahteraan rakyat dan menyelamatkan Malaysia daripada beban hutang yang tinggi," katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam soalannya, Ismail ingin tahu status terkini projek ECRL dan adakah kerajaan akan meneruskan projek tersebut demi pembangunan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi di Pantai Timur.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Ismail, Dr Mahathir berkata, projek ECRL yang dikecilkan skalanya akan memberi kemudahan kepada negeri-negeri Pantai Timur.

"Kita juga sedar untuk batalkan perjanjian mengenakan kos yang tinggi. Sebaliknya kalau projek ini diturunkan skalanya iaitu dikecilkan atau dipendekkan, maka kita dapat kemudahan sepatutnya bagi negeri-negeri Pantai Timur tanpa belanja wang dan hutang yang terlalu banyak.

"Sebab itu kita masih berunding untuk keuntungan negeri-negeri Pantai Timur kerana kita sedar negeri-negeri ini kecuali Terengganu berhutang banyak kepada kerajaan Pusat. Kita tak nak bebankan mereka dengan hutang yang lebih banyak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakocb (BN-Bera) mengenai kos ditanggung kerajaan selepas ECRL ditangguhkan, Dr Mahathir secara sinis berkata, soalan itu patut ditanya ketika kerajaan terdahulu memerintah.

"Saya kagum dengan kearifan pihak yang bertanya tapi kenapa tak tanya dahulu semasa projek ini dibuat? Berapa kos konsultasi, tanah dan sebagainya? Saya yakin jika disoal kepada pihak tertentu, maka tentulah pihak tertentu itu akan batalkan projek ini.

"Tapi sekarang dah lewat, dah separuh jalan. Kita terikat dengan perjanjian yang tidak adil dan kita diberitahu perjanjian ini lebih buruk lagi kerana kita tak ambil kira yuran konsultasi, tanah dan sebagainya," katanya.