'Satu kesalahan jika bantuan diberikan bersyarat'

Reezal Merican (tengah) bersama Pasukan Rasuah Busters di Kompleks Niaga Parit Raja, Batu Pahat pada Rabu.
Reezal Merican (tengah) bersama Pasukan Rasuah Busters di Kompleks Niaga Parit Raja, Batu Pahat pada Rabu.
A
A
A

BATU PAHAT - Rasuah boleh dilakukan dalam pelbagai cara manakala persepsi rasuah tersebut bergantung kepada penerimaan pihak yang menerima.

Mengambil contoh bantuan yang diberikan semasa turun padang, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mempersoal adakah sumbangan diberikan menteri kepada orang ramai itu dikira sebagai rasuah.

"Saya sebagai menteri Persekutuan datang ke sini, ada orang atau masyarakat yang minta pertolongan.

"Tak kan saya perlu menunda tarikh pemberian bantuan sehingga habis Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila ada rakyat meminta bantuan semasa saya turun membantu jentera parti berkempen.

"Pastinya pelbagai penilaian umum terhadap penerima bantuan yang ditolong," katanya..

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa melakukan kempen jentera Barisan Nasional (BN) di Kompleks Niaga Parit Raja dekat sini pada Rabu.

Kompas On The Go sempena Konvoi #RasuahBusters turut diadakan di kompleks niaga tersebut.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah ahli Pasukan Teras Rasuah Busters, Shah Hakim Zain.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, adalah menjadi satu kesalahan sekiranya pemberian sumbangan dikenakan syarat.

Sebagai contoh katanya, selepas diberi bantuan, penerima diminta untuk memangkah atau mengundi BN.

"Jika saya kata, saya bagi ini (bantuan) dengan syarat undi BN, maka saya berdosa. Ini kerana saya tidak boleh memilih untuk membantu masyarakat atau rakyat.

"Tetapi jika dia tertarik kepada BN kerana kebaikan saya, itu hak dia. Maka itu satu tafsiran.

"Namun begitu, jangan halang saya untuk membantu rakyat kerana hanya pilihan raya, ia sentiasa dimomokkan sebagai sogokan politik," katanya.