Najib jangka MAS bakal dijual tidak lama lagi

A
A

Najib jangka MAS bakal dijual tidak lama lagi

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjangkakan Malaysia Airlines Berhad (MAS) akan dijual tidak lama lagi.

Katanya, ia berdasarkan kepada kenyataan daripada Pakatan Harapan baru-baru ini berhubung nasib syarikat penerbangan itu.

Kata Najib, apabila Proton yang masa itu milik penuh syarikat swasta menjual 49 peratus saham mereka kepada Geely, ramai dari Pakatan Harapan yang marah.

Sekarang katanya, Pakatan Harapan mahu jual ikon negara MAS yang kini 100 peratus milik kerajaan kepada syarikat swasta yang berpengalaman. Bila masa tiba hari nanti, agaknya pemimpin PH akan marah juga atau tidak?" soalnya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan terbuka mendepani sebarang kemungkinan yang bakal dihadapi bagi menangani kerugian berterusan syarikat penerbangan itu.

Kerajaan akan tubuh mahkamah khas rasuah

Putrajaya akan menubuhkan satu mahkamah khas rasuah supaya kes-kes berkaitan salah laku tersebut dapat dipercepatkan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, cadangan itu selaras dengan inisiatif pelan antirasuah nasional di mana mahkamah khas tersebut dapat menumpukan kepada kes-kes terdahulu yang melibatkan rasuah.

Beliau berkata, antara kes tersebut turut melibatkan Kementerian Pertahanan yang mana kerajaan mengenal pasti terdapat penjualan tanah dengan cara yang menyalahi undang-undang untuk membina kem tentera.

Beliau menjelaskan, ia tidak akan menjejaskan mahkamah biasa kerana ia akan diadakan di mahkamah biasa juga dan cadangan tersebut masih diteliti.

Pemandu kereta MAHB dirempuh pesawat meninggal dunia

Kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang parah selepas kereta unit kejuruteraan MAHB dipandunya dirempuh sebuah pesawat swasta di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), meninggal dunia petang semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin memaklumkan mangsa, Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, disahkan meninggal dunia pada jam 6.45 petang, ketika menjalani rawatan intensif di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya.

Dalam kejadian pada jam 3.20 pagi Isnin lalu, pesawat swasta terbabit dipercayai hilang kawalan ketika mahu mendarat di LTSAS lalu lalu merempuh bahagian hadapan cermin dan bumbung kereta itu.

Pengebumian mangsa serangan Christchurch bermula hari ini

Enam hari selepas serangan masjid di Christchurch yang meragut 50 nyawa, sebahagian keluarga mangsa akhirnya dapat menjalankan pengebumian.

Pasukan polis dilapor mengawal ketat keadaan di Tanah Perkuburan Memorial Park Linwood, terletak berhampiran Masjid Linwood yang juga salah satu sasaran serangan pengganas pada Jumaat lalu.

Difahamkan, dua pengebumian akan dijalankan pada jam 11 pagi waktu tempatan.

Kehadiran ahli keluarga serta komuniti Muslim di tanah perkuburan terbabit turut dikawal ketat pasukan keselamatan.

Sebuah khemah besar dipasang untuk membolehkan ahli keluarga menerima kehadiran jenazah mangsa, sebelum dibawa ke tapak pengebumian yang telah disediakan.

Chong Wei tarik diri Terbuka Malaysia

Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terpaksa menarik diri daripada kejohanan Terbuka Malaysia, bulan hadapan selepas menerima nasihat daripada doktor yang merawatnya.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM)dalam satu kenyataan memberitahu, hasil pemeriksaan terhadap pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu berjalan dengan baik namun dinasihatkan untuk tidak menyertai kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia 750 yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil itu.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati proses pemulihannya berjalan dengan baik tetapi disarankan untuk menarik diri bagi mengelakkan tekanan kepada dirinya.

Bagi tujuan itu, diharapkan peminat sukan badminton tanah air dimohon untuk memberikan ruang kepada jaguh negara itu bagi menjalani proses pemulihan.