Suri rumah diperdaya Macau Scam, RM21,400 dalam bank lesap

Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim
Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim
A
A
A

KENINGAU - Seorang suri rumah berputih mata apabila wang sebanyak RM21,400 di dalam akaun bank miliknya lesap selepas menerima panggilan dengan wanita yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis pada Sabtu lalu.

Mangsa berusia 31 tahun itu hanya menyedari diperdaya sindiket Macau Scam apabila mendapati wang dalam akaun bank miliknya hilang sebelum membuat laporan polis pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, kira-kira jam 1 petang, wanita dari Kampung Patikang di sini mendakwa menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali.

"Pemanggil memperkenalkan diri sebagai Natasha Anuar dari LHDN dan mengatakan mangsa mempunyai cukai tertunggak sebanyak RM36,600.

"Mangsa menafikan perkara itu sebelum panggilan disambungkan kepada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Maria Aji Syamsudin.

"Sarjan Maria memaklumkan akan menyiasat serta menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh enam atau setahun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Menurut Nor Rafidah, mangsa seterusnya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Saiful dari Bank Negara Malaysia.

"Saiful telah menghantar satu link melalui WhatsApp dan meminta mangsa menekan link berkenaan serta mengisi butiran lanjut dengan alasan untuk mengelak potongan wang dari mahkamah.

"Selepas beberapa jam kemudian, mangsa memeriksa akaun bank miliknya secara dalam talian dan mendapati wangnya sebanyak RM21,400 telah hilang," katanya.

Beliau berkata, mangsa mengesyaki wang yang hilang dari akaunnya berkaitan dengan panggilan telefon diterimanya disyaki daripada sindiket Macau Scam.

"Siasatan diteruskan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Modus operandi kes ini adalah menipu menerusi panggilan telefon dan menyamar sebagai pegawai LHDN dan pegawai polis," katanya.

Artikel Berkaitan: