Saluran parit selamatkan Ladang Rakyat dari terbakar

Bomba menggunakan saluran parit di Ladang Rakyat untuk memasuki ke kawasan kebakaran.
Bomba menggunakan saluran parit di Ladang Rakyat untuk memasuki ke kawasan kebakaran.
A
A
A

LEMBAH BIDONG - Kawasan tanaman kelapa sawit di Ladang Rakyat tidak terlibat dengan kebakaran kawasan hutan paya gambut di Lembah Bidong, Setiu yang dilaporkan bermula sejak 11 Mac lalu.

Pengurus Besar Ladang Rakyat Lembah Bidong, Mohd Zukri Mamat, berkata, kawasan terbabit dengan kebakaran itu ialah tanah hutan paya gambut yang terletak bersebelahan ladang.

"Setakat ini di Ladang Rakyat Lembah Bidong ini belum lagi mengakibatkan kerugian, cuma yang terbakar ialah di kawasan sempadan ladang yang dipisahkan dengan parit selebar kira kira sembilan meter.

"Bagaimanapun, kita sentiasa memantau kebakaran itu dan sekumpulan pekerja ladang membuat tinjauan serta membantu bomba mengawal kebakaran daripada masuk ke kawasan ladang," katanya, hari ini.

Lima tahun lalu iaitu pada 9 Mac 2014 pihak Ladang Rakyat Lembah Bidong mengalami kerugian agak besar apabila 300 pokok kelapa sawit musnah dalam kebakaran kawasan paya gambut.

Menurut Mohd Zukri, selepas kejadian itu, saluran parit dibina di sempadan kawasan Ladang Rakyat Lembah Bidong bagi mengelak api merebak ke kawasan ladang jika berlaku lagi kebakaran di kawasan itu.

Menurutnya, saluran parit itu bukan sahaja dapat menyelamatkan kebakaran dari merebak ke kawasan ladang tetapi digunakan sebagai antara laluan utama bomba ke kawasan kebakaran.

"Pihak Ladang Rakyat memberi kebenaran dan sentiasa bekerjasama dengan anggota bomba yang terpaksa menggunakan laluan ladang dan saluran parit itu untuk memasuki kawasan kebakaran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menjangkakan kebakaran kawasan hutan paya gambut itu dapat dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh tiga hari lagi.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azlimin Mat Noor yang melawat ke kawasan kebakaran di Lembah Bidong, Setiu itu, semalam.

Difahamkan, daripada keseluruhan kebakaran seluas 130 hektar, bomba berjaya memadamkan 110 hektar kawasan terbakar dan menjangkakan keseluruhan api dipadamkan dalam tiga hari.