Rasa tak profesional: Nadiyah Shahab

A
A

PELAKON yang semakin dikenali, Nadiyah Shahab mengakui agak sukar ketika mula-mula berlakon bersama selebriti serba boleh, Zizan Razak.

Menurut Nadiyah, dia dan Zizan berlakon bersama-sama dengan Uqasha Senrose, Datuk AC Mizal, Idris Khan, Ray, Bell Ngasri serta beberapa pelakon lain lagi dalam supertelefilem, Saya Jual Ye Bang, yang sudah pun ditayangkan di Astro First Eksklusif (saluran 480).

Jelasnya, ketika sesi latihan, dia sudah dimaklumkan dengan komedi yang akan diucapkan Zizan dalam babak seterusnya.

Namun apabila masuk ke set penggambaran, Zizan sering tampil dengan skrip atau komedi spontan membuatkan dia terpinga-pinga dan ketawa.

"Sejujurnya susah berlakon dengan Zizan dan saya rasa tak profesional kerana asyik gelak apabila dia melontarkan komedi spontan ketika berlakon.

"Apatah lagi sebelum itu, kami dah berlatih dan Zizan sudah beritahu apa yang dia akan cakapkan ketika shoot.

"Tapi bila tengah shoot, komedi itu akan bertukar dan apa yang boleh saya katakan, dia sering tampil spontan dan saya pula akan rosakkan take (babak) itu kerana ketawa.

"Bagaimanapun selepas beberapa kali berlakon satu babak dengannya, saya dah boleh agak caranya dan tunggu point yang sesuai untuk saya lontarkan skrip atau saya langgar sahaja.

"Apapun saya anggap itu semua proses pembelajaran untuk saya dan ia memberikan pengalaman yang bermakna," katanya yang turut mendapat pengalaman baharu apabila berlakon bersama kawan baiknya, Uqasha.

Dalam perkembangan lain, drama lakonan Nadiyah bersama Ayda Jebat, Shukri Yahaya dan Idris Khan iaitu Asalkan Dia Bahagia sedang ditayangkan di TV3.