Krisis Rusia-Ukraine: Thai perkenal langkah hadapi kejatuhan ekonomi

Prayuth Chan o-cha
Prayuth Chan o-cha
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha berkata, Thailand sedia memperkenalkan langkah tambahan untuk menangani sebarang kejatuhan ekonomi akibat pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Beliau berkata, semua kementerian berkaitan bermesyuarat pada Isnin untuk membincangkan perkembangan terkini mengenai krisis Rusia-Ukraine.

"Kementerian berkaitan akan membangunkan langkah dalam pelbagai sektor untuk menangani situasi (jika ada) dalam tiga peringkat,” katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut.

Ketika ditanya mengenai pendirian Thailand akan perang Rusia-Ukraine, Prayuth berkata, Thailand berpegang dengan pendirian yang sama seperti Asean, menyeru semua pihak mematuhi prinsip saling menghormati dan menyelesaikan pertikaian mereka secara aman.

"Ia mengenai keputusan kumpulan serantau. Kita perlu menjaga keseimbangan. Paling penting, kita mesti memastikan keselamatan rakyat, termasuk warga Thailand.

"Kita berharap rundingan damai akan menamatkan konflik itu tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Don Pramudwinai berkata, Thailand tidak akan tergesa-gesa mengecam Rusia dan akan memantau keadaan dengan teliti dan melihat sama ada ia boleh membantu meredakan keadaan.

"Semua orang tahu bahawa, jika perang berlarutan, harga bahan tenaga akan meningkat. Ini akan diikuti dengan kenaikan inflasi. Kami tidak mahu begitu,” katanya dipetik oleh Thai PBS.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, 25 orang duta bertemu dengan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Thai, Thani Thongphakdi bagi menyatakan penentangan mereka terhadap pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) mengenai krisis Ukraine. - Bernama