MIDA tingkatkan promosi berasas minyak sawit

mida
mida
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus meningkatkan aktiviti promosi untuk menambah pelaburan dalam pengeluaran produk berasaskan minyak sawit dengan nilai tambah yang lebih tinggi.

Ini termasuk pengeluaran bahan makanan, bahan tambahan makanan dan produk nutraseutikal, katanya dalam Laporan Prestasi Pelaburan Malaysia 2018 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Agensi kerajaan itu berkata sebagai pengeluar dan pengeksport minyak sawit kedua terbesar dunia, Malaysia mempunyai peranan penting untuk memenuhi keperluan global kepada minyak makan dan lemak.

“Pelabur perlu mengambil perhatian bahawa kerajaan komited untuk mempromosikan dan mengembangkan industri produk sawit. Sepanjang 2018, MIDA menyertai pelbagai program kesedaran dan capaian,” katanya.

Dalam laporan itu, MIDA berkata pada 2018, sebanyak 12 projek dengan pelaburan berjumlah RM384 juta diluluskan dalam industri produk sawit.

Lima daripadanya projek baharu dan tujuh merupakan projek pengembangan dan kepelbagaian.

Pelaburan domestik menguasai industri, berjumlah RM332.7 juta, dengan pelaburan langsung asing sebanyak RM51.3 juta.

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Malaysia mengeksport produk sawit sebanyak 24.8 juta tan pada 2018, menyumbang RM67.7 bilion dari segi perolehan kepada keseluruhan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Jumlah itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding 2017, dengan nilai eksport sebanyak RM77.8 bilion, bagaimanapun meningkat sedikit daripada jumlah eksport pada 2017 sebanyak 24 juta tan.

India muncul sebagai pengimport terbesar minyak sawit Malaysia, diikuti Kesatuan Eropah dan China.

“Bagaimanapun, ketegangan perdagangan antara AS dan China menyaksikan tindakan berhubung tarif yang mewujudkan ketidaktentuan dalam pasaran pertanian dan mengubah aliran perdagangan. Ini terutamanya bagi pasaran kacang soya, berikutan kacang soya turut digunakan untuk menghasilkan minyak.

“Berdasarkan ketidaktentuan yang wujud disebabkan perang perdagangan, pelabur terus bimbang berikutan mereka berusaha untuk menyesuaikan dengan kesan daripada perang perdagangan ke atas minyak sayuran. Di bawah keadaan yang sesuai, minyak sawit boleh menjadi ‘pemenang’ dalam keadaan ini,” menurut MIDA.