Pusat JPBB, Medic Base ditutup tengah hari ini

Dr Sahruddin mengadakan sidang akhbar mengenai penutupan pusat rawatan awal di Stadium MPPG. Foto Sinar Harian : Raja Jaafar Ali
Dr Sahruddin mengadakan sidang akhbar mengenai penutupan pusat rawatan awal di Stadium MPPG. Foto Sinar Harian : Raja Jaafar Ali
A
A
A

PASIR GUDANG - Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana (JPBB) dan Pusat Rawatan Medic Base di Stadium Tertutup Pasir Gudang ditutup secara rasmi jam 12 tengah hari ini.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, penutupan itu susulan perkembangan positif kualiti udara di persekitaran Sungai Kim Kim yang sudah kembali pulih.

"Jumlah pesakit berkurangan dan kualiti udara sudah kembali pulih. Hasil mesyuarat JPBB malam tadi bahawa kami ambil keputusan dengan perkembangan positif ini untuk menutup secara rasmi Pusat JBPP dan Pusat Rawatan Medic Base hari ini.

"Kerajaan negeri ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan, pasukan keselamatan, anggota kesihatan, institusi pendidikan, pihak swasta, NGO, sukarelawan dan para pengamal media yang terlibat secara langsung atau tidak dalam kerja pengurusan ini,"katanya pada sidang media di luar Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) hari ini.

Namun begitu, kerja-kerja pemantauan oleh agensi-agensi yang terlibat akan diteruskan mengikut keperluan masing-masing.

Beliau turut menasihati orang awam yang merasakan mengalami simptom seperti pedih mata, loya, muntah, sesak nafas dan pening boleh dapatkan rawatan di hospital atau klinik-klinik kesihatan yang berhampiran.

Dalam perkembangan lain, seramai lapan pesakit baharu dirujuk ke hospital setakat jam 12 tengah malam tadi dan hanya 2 pesakit yang masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan.

Sehingga jam yang sama jumlah pesakit yang dibenarkan pulang setelah mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) adalah seramai 40 orang.

Artikel Berkaitan:

Sejak 17 Mac hingga 12 tengah malam tadi seramai 44 pesakit masih dirawat di hospital.