10 balai polis, 11 pos kawalan PGA rosak dilanda banjir

Razaruddin
Razaruddin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 10 balai polis serta 11 pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Terengganu dan Kelantan rosak akibat banjir besar yang melanda penghujung musim Monsun Timur Laut (MTL) di negeri berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razaruddin Husain berkata, ia termasuk empat balai polis di Terengganu dan enam di Kelantan, manakala 11 lagi melibatkan pos PGA yang kesemuanya terletak di kawasan sempadan Kelantan-Thailand.

Beliau berkata, bencana banjir luar jangka pada penghujung MTL bukan sahaja merosakkan balai polis, malah kediaman keluarga anggota di kuarters dan kawasan luar turut terjejas.

"Di Terengganu balai polis yang terlibat ialah Balai Polis (BP) Kuala Jengai dan BP Pasir Raja di Dungun, BP Air Putih di Kemaman dan BP Manir di Kuala Terengganu yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air meskipun lokasinya di tepi sungai.

"Sementara di Kelantan yang terjejas ialah BP Rantau Panjang, BP Bakong, BP Jeram Perdah, BP Kuala Jambu, BP Simpangan dan BP Meranti," katanya kepada pemberita selepas melawat BP Manir di sini, pada Rabu.

Hadir sama meninjau keadaan balai pascabanjir itu, Ketua Polis Terengganu Datuk Rozaimi Md Isa.

Razaruddin berkata, 11 pos PGA yang terjejas ialah Pos PGA Terusan, Pos PGA Salleh Berek, Pos PGA Tok Kana, Pos PGA Antah, Pos PGA Serongga, Pos PGA Ibrahim Pencen, Pos PGA Kaloi, Pos PGA Wakaf Zain, Pos PGA Pulau, Pos PGA Kubang Pak Hitam dan Pos PGA Mek Gombak.

Menurut Razaruddin, pihaknya sedang mengenal pasti serta membuat penilaian infrastruktur dan peralatan bagi mendapatkan anggaran sebenar nilai kerosakan semua balai dan pos kawalan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bantuan segera juga akan disalurkan bagi membantu keluarga anggota polis yang terjejas akibat bencana tersebut.

"Walau bagaimanapun di Terengganu dan Kelantan persiapan awal sudah dilakukan oleh pihak kami dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma). Jadi banyak peralatan di balai polis dapat diselamatkan lebih awal kecuali di kawasan yang tidak dijangka," katanya.

Menurutnya, kini masih terdapat 17,385 mangsa banjir di Terengganu yang ditempatkan di 86 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri itu. - Bernama