Kertas siasatan nahas 4 sekeluarga diserah kepada pendakwa raya

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kertas siasatan membabitkan kemalangan yang mengorbankan empat sekeluarga di Lebuh Raya Sultan Iskandar di sini, pada Ahad akan diserahkan ke Pejabat Pendakwa Raya, Khamis ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya telah merakam keterangan pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang terbabit dalam kemalangan tersebut.

"Ujian air kencing pemnadu itu juga negatif. Punca kemalangan sudah dikenal pasti, namun saya tidak dapat berkongsi hasil siasatan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sarifudin memaklumkan selepas mengambil kira pandangan doktor, pihaknya tidak menahan pemandu tersebut kerana dia mengalami kecederaan di tulang belakang dan menggunakan pendakap pinggang.

Pada Ahad, media melaporkan kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux yang hilang kawalan dan merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex.

Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila Toyota Hilux yang dipandu dari arah Mahameru menghala ke Jalan Tun Razak telah terbabas di selekoh lalu melanggar pokok yang berada di pembahagi jalan.

Selepas itu Toyota Hilux tersebut telah masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh sebuah MPV.

Akibat dari kemalangan tersebut, empat sekeluarga berusia antara tiga hingga 31 tahun yang berada di dalam Hyundai Starex terbabit telah disahkan maut di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan: