Mora sedia bekerjasama dengan Pan-gon

Mora - Foto Johor Southern Tigers
Mora - Foto Johor Southern Tigers
A
A
A

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora sedia bekerjasama dengan pengendali baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon dalam usaha membangunkan skuad bola sepak kebangsaan.

Mora juga sedia berkongsi beberapa perkara dengan Pan-gon terutama mengenai para pemain Harimau Selatan itu yang sering berada dalam senarai kesebelasan Harimau Malaya.

Jelasnya, disebabkan perkara itu juga, Pan-gon mahu mengetahui lebih lanjut mengenai JDT terutama bagaimana mereka bekerja di kelab berkenaan.

“Saya pernah berjumpa dengannya (Pan-gon) sebelum ini dan kami banyak bercakap mengenai bola sepak.

“Secara peribadi bagi saya, dia seorang yang baik dan saya sedia berkongsi pelan bersamanya kerana ramai pemain daripada pasukan ini berada dalam pasukan kebangsaan,” katanya pada Sabtu.

Untuk rekod, sebahagian besar pemain Harimau Selatan merupakan pemain Harimau Malaya seperti Farizal Marlias, Matthew Davies, Aidil Zafuan Radzak, Shahrul Saad, Corbin Ong, Ariff Aiman Hanafi, Safawi Rasid, Syameer Kutty Abba, Nazmi Faiz Mansor, Syahmi Safari, Mohamdou Sumareh, Akhyar Rashid.

Sementara itu, menurut Mora, dia juga mahu Pan-gon melihat cara pemain-pemain JDT menjalani latihan, selain gaya bekerja bersama skuad Harimau Selatan tersebut.

“Setelah mengetahui perkara-perkara demikian, diharapkan Pan-gon lebih mudah untuk tahu bagaimana pemain-pemain di sini dilatih dan bagaimana cara kita bekerja di JDT.

Artikel Berkaitan:

“Malah, pada masa sama saya juga sedia memberikan kerjasama terbaik kepada Pan-gon dalam usaha membantu mengenal pasti pemain-pemain terbaik untuk mewakili skuad negara,” katanya.