Tun Taib angkat sumpah Yang di-Pertua Negeri Sarawak bagi penggal ketiga

Abdul Taib mengangkat sumpah pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak bagi penggal ketiga dalam satu upacara yang diadakan di Dewan Lapau Bangunan Dewan Undangan Negeri, Kuching hari ini. - Foto Bernama
Abdul Taib mengangkat sumpah pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak bagi penggal ketiga dalam satu upacara yang diadakan di Dewan Lapau Bangunan Dewan Undangan Negeri, Kuching hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Tun Abdul Taib Mahmud mengangkat sumpah pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak untuk penggal ketiga dalam satu upacara di Dewan Lapau Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau diiringi isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib dalam upacara yang turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Juma'ani Tun Tuanku Bujang serta beberapa orang menteri kabinet negeri.

Majlis itu dimulakan dengan Abang Johari membacakan surat cara pelantikan Abdul Taib sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

Abdul Taib, 86, kemudiannya mengangkat sumpah pelantikan dan seterusnya menandatangani surat sumpah dengan disaksikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim.

Dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak untuk kali pertama pada 1 Mac 2014 untuk tempoh sehingga 28 Februari 2018, Abdul Taib dilantik untuk kali kedua ke jawatan itu untuk tempoh 1 Mac 2018 sehingga 28 Februari 2022.

Beliau pernah memegang jawatan ketua menteri selama 33 tahun sejak 26 Mac 1981 menggantikan bapa saudaranya, Tun Abdul Rahman Ya'kub.

Anak sulung daripada 10 beradik kepada pasangan Mahmud Abang Yahya dan Hamidah Ya'kub itu dilahirkan pada 21 Mei 1936.

Beliau pernah berkhidmat sebagai hakim bersekutu di Mahkamah Agung Australia Selatan selepas menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Adelaide, sebelum kembali ke Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Anak jati Bumi Kenyalang itu menceburi politik pada tahun 1963 apabila menjadi anggota Majlis Perundangan Negeri Sarawak sehingga 1966. - Bernama