Lebih 12,000 isi rumah di selatan Thailand terjejas banjir

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BANGKOK - Hujan lebat telah menyebabkan lebih 12,000 isi rumah di tujuh wilayah di selatan Thailand terjejas akibat banjir.

Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana berkata hujan lebat sejak 25 Feb yang lalu telah menyebabkan 12,189 isi rumah di tujuh wilayah - Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla, Phatthalung, Nakhon Si Thammarat dan Trang terjejas akibat banjir.

"Setakat hari ini, paras air di beberapa kawasan sudah surut, namun masih terdapat 9,930 isi rumah dari 320 kampung di empat wilayah - Narathiwat, Pattani, Yala dan Phatthalung masih terjejas.

"Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana akan bekerjasama dengan kerajaan tempatan untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Mukim Munok di Sungai Golok di sempadan Thailand-Malaysia mendapati jalan masih dinaiki air setinggi satu meter.

Gabenor Narathiwat, Sanan Pongaksorn berkata, wilayah itu antara yang paling teruk terjejas akibat banjir.

Beliau berkata, lebih 4,000 isi rumah di lapan daerah di Narathiwat masih terjejas akibat banjir.

"Air dijangka surut dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: