Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga adik Anwar

Foto Facebook Istana Negara
Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Rusli Ibrahim iaitu adik kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang meninggal dunia hari ini.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Rusli dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan bersama para solihin," demikian menurut catatan itu.

Allahyarham merupakan anak kelima daripada sembilan adik beradik.

Menerusi laman Twitter, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson memaklumkan adiknya meninggal dunia pada usia 74 tahun di Hospital Selayang, hari ini.

Difahamkan, Allahyarham Rusli meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira 2.20 petang tadi selepas berada di Hospital Selayang sejak beberapa minggu yang lepas dan jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Ubudiah sebelum dikebumikan di tanah perkuburan sekitar Ampang, malam ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: