MSC lonjak imej baharu sepak takraw negara

Syed Araniri
Syed Araniri
A
A
A

PERSATUAN Sepaktakraw Perlis (PSTPs) amat yakin dan percaya bahawa Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) berupaya mencapai matlamat untuk mengembalikan imej dan maruah sukan sepak takraw negara yang telah pun tercemar akibat penyingkiran Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dari ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) pada Mei tahun lalu.

Malah menurut Presiden PSTPs, Syed Araniri Syed Ahmad, kepercayaan dan keyakinan PSTPs akan kemampuan MSC untuk mencapai matlamat tersebut adalah bersandarkan kesungguhan serta ikrar barisan kepimpinan tertinggi ke arah membina pengaplikasian tadbir urus yang berteraskan nilai-nilai amanah dan integriti.

Tambahnya, PSTPs sebagai ahli gabungan dan peneraju utama bersama gabungan MSC yang lain akan mencadangkan kepada pimpinan tertinggi MSC untuk berpegang teguh kepada tujuh teras utama yang mampu mengembalikan semula maruah dan kredibiliti negara di kalangan negara negara ahli anggota ASTAF dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).

“Tujuh teras utama yang akan dicadangkan PSTPs itu adalah pembuatan dan penetapan keputusan secara kolektif oleh semua Ahli Majlis Tertinggi; kedua ketelusan dalam maklumat perbelanjaan dan pendapatan serta berhemah dalam sebarang perbelanjaan.

“Ketiga menjalin kerjasama dan hubungan yang baik bersama semua media massa dan elektronik manakala keempat menetapkan syarat-syarat kelayakan (job specification) dan huraian tugasan (job description) yang jelas dalam pemilihan barisan kejurulatihan dan pengadilan sepak takraw negara

“Kelima pula menjamin semua gabungan mendapat manfaat yang adil dan saksama manakala keenam merancakkan kembali penganjuran kejohanan dan kursus bertaraf kebangsaan di negeri gabungan diikuti ketujuh menjalin kerjasama, hubungan baik dan menghormati kredibiliti ASTAF serta ISTAF,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jelas Syed Araniri lagi, MSC juga harus meletakkan jalinan hubungan erat dengan ASTAF sebagai agenda utama yang mesti dipelihara supaya berkekalan subur dan mendatangkan manfaat yang optimum terhadap kemajuan serta pembangunan sepak takraw negara yang akhirnya menyumbang manfaat kepada semua ahli gabungan.

“MSC amat optimis bahawa sudah sampai masa dan ketikanya ASTAF memandang serius terhadap isu tadbir urus persatuan yang berpaksikan kepada amalan dan tindakan yang amanah lagi berintegriti dalam memilih entiti sepak takraw di Malaysia yang layak untuk bernaung di bawah payung ASTAF dan ISTAF.

Artikel Berkaitan:

“Apatah lagi kenyataan Presiden ASTAF sebelum ini yang secara terang menegaskan dan telah menekan signal lampu hijau bahawa ASTAF hanya akan menerima badan induk sepak takraw di Malaysia yang amanah dan berintegriti tinggi dalam isu tadbir urus sebagai kerabat ASTAF.

“Akhirnya PSTPs menyeru kepada semua gabungan sepak takraw negeri agar berlapang dada untuk kembali menyertai MSC dan ketelusan MSC terserlah dalam soal membuka pintu kepada mereka tanpa meletakkan sebarang syarat,

“Matlamat MSC amat jelas bertujuan untuk membina dan mengembalikan semula imej dan maruah sepak takraw negara di persada dunia serta kembali bernaung di bawah payung ASTAF dan ISTAF,” ujarnya.