Temui 'baby sharks' lepas bah

Lelaki memegang dua anak ikan jerung ditemui selepas banjir. - Foto Twitter JayapuraID
Lelaki memegang dua anak ikan jerung ditemui selepas banjir. - Foto Twitter JayapuraID
A
A
A

JAYAPURA - INDONESIA. Penduduk di daerah Sentani di wilayah Papua gempar apabila menemui anak ikan jerung terdampar di kampung berkenaan selepas dilanda banjir.

Di Twitter JayapuraID, beberapa gambar dan video dimuat naik menunjukkan dua anak ikan jerung ditemui di kawasan perumahan BTN Sosial Sentani Kabupaten Jayapura.

Video durasi 29 saat itu menunjukkan seorang individu sedang memegang dua anak ikan jerung dipercayai spesis sirip hitam yang biasa ditemui di kawasan batu karang.

“Lihat bukan di laut atau di darat tetapi kawasan pergunungan seperti di Sentani. Ini bukan satu perkara bohong tetapi kenyataan. Inilah kebesaran Tuhan...," katanya.

Menerusi The Jakarta Post, Sentani terletak kira-kira 36 kilometer dari Jayapura.

Tasik Sentani yang terbesar di Papua pula terletak pada ketinggian 75 meter dari paras laut.

Penyelidik dari Pusat Arkeologi Papua, Hari Suroto berkata, pada zaman dahulu tasik Sentani adalah sebahagian daripada laut dan kemungkinan sebab itu terdapat rekod yang menunjukkan ada jerung hidup di kawasan tersebut.

“Sebahagian laut berhubung dengan sungai dan mata air di pergunungan Cycloops. Pergerakan lapisan bumi mengubah Tasik Sentani menjadi tasik air tawar,” katanya kepada antaranews.com.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, banjir itu telah mengorbankan 79 nyawa manakala 43 masih hilang.