'Saya rindu air tangan isteri'

Ngadiman (kiri) bersama isterinya sewaktu menerima kunjungan Vidyananthan.
Ngadiman (kiri) bersama isterinya sewaktu menerima kunjungan Vidyananthan.
A
A
A

KLUANG - "Sejak 2013, isteri sudah tiga kali diserang angin ahmar dan yang paling teruk adalah pada 2016," kata Ngadiman Wagi,61, mengenai isterinya, Tasmah Jumadi,57, yang diserang angin ahmar sehingga menyebabkannya hilang upaya untuk melakukan apa-apa kerja termasuk memasak.

Menurut Ngadiman, kali pertama isterinya diserang penyakit itu awal 2013, namun sembuh semula pada hujung tahun sama selepas berikhtiar melakukan rawatan di hospital dan berubat secara tradisional.

Katanya, isterinya sekali lagi diserang penyakit sama apabila bacaan tekanan darah meningkat pada pertengahan 2014 sebelum dapat dirawat menggunakan kaedah sama membolehkan isterinya bergerak dalam rumah walaupun perlahan.

"Bagaimanapun, serangan kali ketiga iaitu pada 2016 amat mengejutkan dan ketika itu tiada siapa menyangka dia (isteri) masih boleh duduk sendiri walaupun pergerakannya di dalam rumah terpaksa dibantu.

"Kini sudah enam tahun berlalu, namun usaha perubatan yang dilakukan ketika kali pertama dan kedua dia diserang angin ahmar tidak lagi berkesan," katanya ketika menerima kunjungan ADUN Kahang, R Vidyananthan di rumahnya, semalam.

Menurut Ngadiman, walaupun terpaksa mengambil alih peranan isteri sebagai suri rumah, dia tetap tabah menguruskan semuanya kerana apa yang penting adalah kesihatan insan kesayangannya itu.

"Mujurlah ada wang sara hidup yang diberikan oleh Felda setiap bulan, jika tidak sudah pasti menyukarkan sedikit kehidupan saya kerana anak-anak semua sudah berumah tangga dan mempunyai komitmen keluarga sendiri selain tidak tinggal bersama.

"Walaupun isteri diserang angin ahmar pada bahagian sebelah badannya sahaja, namun penyakit ini amat menuntut komitmen tinggi daripada saya dan ianya diberikan dengan penuh tanggungjawab sebagai seorang suami," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mereka yang hanya tinggal berdua turut berterima kasih kepada jiran berdekatan kerana sentiasa memberikan bantuan serta perhatian terutama sekali apabila dia terpaksa keluar untuk mendapatkan bekalan makanan harian.

"Diharapkan rawatan cara tradisional yang sedang dilakukan ketika ini dapat mengembalikan kesihatannya kerana kami semua amat rindukan air tangan dan gurauannya ketika sihat sebelum ini," katanya.