Budak tular dakwa mahu dibunuh ibu tiada unsur dera

Tular video di laman sosial mengenai seorang kanak-kanak lelaki meminta bantuan orang ramai di sebuah medan selera di Kota Damansara, Petaling Jaya selepas mendakwa cuba dibunuh ibu kandungnya pada Ahad.
Tular video di laman sosial mengenai seorang kanak-kanak lelaki meminta bantuan orang ramai di sebuah medan selera di Kota Damansara, Petaling Jaya selepas mendakwa cuba dibunuh ibu kandungnya pada Ahad.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis mengesahkan tiada unsur-unsur penderaan ke atas seorang kanak-kanak lelaki yang mana videonya tular selepas dia mendakwa mahu dibunuh ibu kandungnya dalam kejadian pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, tular satu rakaman video durasi satu minit 3 saat di laman sosial mengenai seorang kanak-kanak lelaki lingkungan 12 tahun meminta bantuan orang ramai di sebuah medan selera di Kota Damansara, di sini mendakwa cuba dibunuh ibu kandungnya.

"Kami telah menerima aduan berhubung video tular menerusi panggilan telefon oleh seorang lelaki kira-kira jam 8 malam pada Ahad mengenai insiden tersebut dan kanak-kanak itu dibawa ke balai polis berdekatan untuk siasatan lanjut.

"Siasatan dijalankan mendapati berlaku perselisihan faham antara kanak-kanak dengan ibu kandungnya kerana kanak-kanak berkenaan telah bergaduh dengan adiknya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, kanak-kanak itu dimarahi ibunya kemudian bertindak melarikan diri ke gerai berhampiran kawasan rumahnya.

"Hasil siasatan juga mendapati tiada unsur penderaan terhadap kanak-kanak itu.

"Bagaimanapun, mangsa telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Menurut Mohamad Fakhrudin, siasatan lanjut akan dilakukan sekiranya terdapat sebarang perbuatan jenayah terhadap kanak-kanak berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Saksi awam yang melihat kejadian diminta tampil memberikan keterangan.

"Orang ramai turut dinasihatkan supaya berhenti menyebar video itu kerana boleh menimbulkan kegusaran awam," katanya.

Dalam pada itu, bapa kanak-kanak tersebut tampil ke balai polis membuat laporan berkaitan dakwaan video tular tersebut.