Pemimpin politik Perancis akui kempen negatif sawit tak berasas

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersalaman bersama anggota parlimen Perancis Anne Genetet pada majlis mesyuarat makan tengahari bersama anggota parlimen Perancis berkenaan minyak sawit di Paris semalam. Foto: Bernama
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersalaman bersama anggota parlimen Perancis Anne Genetet pada majlis mesyuarat makan tengahari bersama anggota parlimen Perancis berkenaan minyak sawit di Paris semalam. Foto: Bernama
A
A
A

PARIS - Beberapa ahli Parlimen dan pemimpin politik Perancis mengakui bahawa kempen negatif Kesatuan Eropah mengenai minyak kelapa sawit Malaysia adalah tidak berasas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pandangan itu disuarakan ahli Parlimen dan pemimpin politik terbabit, ketika mengadakan pertemuan dengan Dr Wan Azizah di sebuah hotel di sini.

“Ahli Parlimen itu menyatakan bahawa mereka telah pergi ke Malaysia dan merasakan bahawa memang Malaysia mempunyai satu persekitaran yang baik (berkaitan industri kelapa sawit) dan mengakui bahawa kelapa sawit kita telah mendapat publisiti yang negatif.

“Mereka sendiri pernah ke Malaysia dan melihat sendiri dan mereka tahu bahawa kempen negatif ini memang tidak berasas dan mengakui bahawa kelapa sawit Malaysia bukan seperti yang didakwa sebagai ‘bad practice’,” katanya kepada Bernama dan RTM di sini hari ini.

Dr Wan Azizah dalam rangka kerja empat hari ke Perancis bermula Ahad lalu dengan agenda utama bagi mempengerusikan mesyuarat Biro Pengurusan Transformasi Sosial (MOST) dan Sesi ke-14 Majlis Antara Kerajaan bagi MOST.

Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) mengenai transformasi sosial.

Dr Wan Azizah berkata, dalam pertemuan itu ahli Parlimen dan pemimpin politik Perancis terbabit turut terkejut apabila dimaklumkan bahawa Malaysia masih mempunyai lebih 53 peratus keluasan hutan.

“Menerusi kempen negatif mengenai industri sawit Malaysia, mereka diberitahu hutan Malaysia telah berkurangan, tetapi sebenarnya kita ada lebih 53 peratus. Saya juga memberitahu mereka mengenai hidupan liar kita yang masih ada dan terpelihara seperti harimau Malaysia (Malayan tiger) dan orang hutan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dua Ahli Parlimen Perancis yang hadir dalam pertemuan dengan Dr Wan Azizah itu ialah anggota parti LaREM, Anne Genetet dan anggota parti UDI Meyer Habib. Mereka disertai tiga lagi pemimpin politik Perancis yang lain.

Industri minyak sawit negara berhadapan kritikan meluas dalam beberapa tahun ini, kerana dikaitkan dengan penebangan hutan yang menjejaskan alam sekitar.

Parlimen EU sebelum ini turut meluluskan resolusi memboikot penggunaan produk minyak sawit yang dihasilkan menerusi cara tidak mampan menjelang 2030. - Bernama