Kedudukan ranking Liek Hou tak penting

Cheah Liek Hou
Cheah Liek Hou
A
A
A

JAGUH badminton para negara Cheah Liek Hou nampaknya perlu melupakan seketika hasrat untuk menjadi pemain nombor satu dunia kategori SU5 (kecacatan fizikal) dalam tempoh terdekat.

Jurulatihnya Datuk Rashid Sidek, sebaliknya berpendapat misi merampas emas Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China, Oktober ini, dilihat jauh lebih penting bagi pemain nombor dua dunia itu berbanding mengejar kedudukan ranking.

“Bagi saya kedudukan nombor satu itu tidak penting buat masa ini, paling utama bagi Liek Hou adalah sasaran bawa pulang emas pada Sukan Para Asia di China nanti,” katanya.

Berdasarkan ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Liek Hou yang ketika ini mengumpul 48,600 mata, jauh ditinggalkan musuh ketatnya Dheva Anrimusthi apabila pemain Indonesia itu unggul berada di puncak takhta dengan 57,350 mata.

Liek Hou yang menyumbang dua emas Sukan Para Asia berturut-turut pada edisi di Guangzhou 2010 dan Incheon 2014 hanya sekadar membawa pulang gangsa pada temasya lepas di Jakarta-Palembang 2018.

Dalam pada itu, Rashid mengingatkan pemain berasal dari Kuala Lumpur yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-34 pada 8 Mac ini terus mengekalkan tahap kecergasannya supaya tidak mengalami sebarang kecederaan menjelang Sukan Para Asia 2022.

Selain Dheva, Rashid berharap Liek Hou tidak memandang rendah keupayaan seorang lagi pemain Indonesia, Suryo Nugroho yang berkedudukan ketiga terbaik dunia serta pemain lain dari China dan Thailand yang mampu memberi saingan getir dalam penentuan pingat emas di China.

Sukan Para Asia 2022 dijadual berlangsung dari 9 hingga 15 Oktober depan. - Bernama

Artikel Berkaitan: