Kerajaan dakwa Najib salah guna proses mahkamah

Najib, Tommy Thomas
Najib, Tommy Thomas
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa tuntutan saman yang dikemukakan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadapnya dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, sebagai tindakan yang menyalahgunakan proses mahkamah.

Menerusi afidavit jawapan yang difailkan 4 Februari lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, langkah bekas Perdana Menteri itu merupakan serangan sampingan atau ‘collateral damage’.

Dalam saman itu, Najib selaku plaintif mendakwa Tommy melanggar kuasa dalam jawatan awam apabila menuduhnya di mahkamah dengan tuduhan membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahmad Akram berkata, jika Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa wujud sikap berat sebelah dan campur tangan dalam siasatan membabitkan Tommy adalah relevan, ia wajar dibangkitkan dalam perbicaraan kes-kes jenayah terhadapnya.

Pada 22 Oktober 2021, Najib memfailkan saman terhadap Tommy dan kerajaan, dengan menyatakan 35 pertuduhan terhadapnya, kecuali kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, sebagai sesuatu yang sudah lama dirancang.

Menerusi pernyataan tuntutan, Najib mendakwa, kerajaan ketika itu bersama Tommy sebagai Peguam Negara, menjalankan tugasnya seolah-olah sebagai ejen Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, Tommy telah melakukan 'misfeasance' atau gagal melaksanakan tugas dengan betul dan penyalahgunaan proses dengan niat jahat (malicious process) serta cuai ketika menjadi Peguam Negara.

Beliau berkata, Tommy telah bersikap prejudis terhadapnya sebelum beliau dituduh di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Najib kemudiannya memohon deklarasi bahawa Tommy telah melakukan 'misfeasance' dan menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan yang akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah.

Beliau juga menuntut ganti rugi sebanyak RM1,941,988 iaitu kos-kos yang terpaksa ditanggung akibat pendakwaan tersebut seperti bayaran rundingan pasukan audit untuk melakukan semakan dokumentasi dan kos yang terpaksa dibazirkan kerana tidak dapat ke luar negara akibat syarat jaminan yang dikenakan terhadapnya.

Pada November 2021, Tommy dan kerajaan Malaysia memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut dengan alasan ia adalah sesuatu yang mengaibkan, remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Mereka selaku defendan juga mendakwa Najib tidak mempunyai kausa tindakan yang munasabah dan merupakan satu tindakan yang tidak boleh dikekalkan (obviously unsustainable) atau dipertahankan.