Bunuh isteri, warga emas AS ditahan

Polis dan Jabatan Forensik HPP sedang memeriksa bilik mangsa dan suspek.
A
A

GEORGETOWN - Seorang lelaki warga emas Amerika Syarikat ditahan untuk membantu siasatan berhubung kematian isterinya, petang semalam.

Suspek berusia 62 tahun itu ditahan pada jam 5.45 petang di pekarangan bangunan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, penahanan suspek itu dibuat selepas keputusan bedah siasat terhadap mayat isterinya diperolehi pada jam 2 petang.

Menurutnya, keputusan bedah siasat mendapati Chin Geok Heong, 60 yang merupakan suri rumah itu meninggal dunia akibat lemas dan serangan jantung.

Kesan darah pada cadar di bilik mangsa.
Kesan darah pada cadar di bilik mangsa.

"Kejadian berlaku di sebuah rumah di Lintang Delima 4, Island Glades, Jelutong. Suspek dipercayai menekup muka mangsa menggunakan kedua-dua tangannya dan menyebabkan mangsa lemas.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan HPP ketika dalam perjalanan ke hospital pada jam 4.20 pagi tadi (semalam). Suspek yang tidak mengaku melakukan perbuatan itu ditahan reman bermula esok (hari ini) untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, mangsa dan suaminya yang dilahirkan di Malaysia dan mendapat kerakyataan Amerika Syarikat itu pulang ke negara ini pada 19 Januari lalu.

"Kedua-dua mereka pulang ke negara ini bagi menyambut Tahun Baru Cina dan dijadualkan pulang ke Amerika Syarikat esok (hari ini). Mengikut keterangan adik mangsa, dia terdengar sepasang suami isteri itu bertengkar dalam bilik di rumah tersebut.

"Adik mangsa juga terdengar kakaknya menjerit pada jam 2.30 pagi. Dia telah mengetuk pintu bilik namun suspek telah membuka pintu dan memberitahu mangsa menjerit kerana tidak sihat," katanya.

Kesan darah pada cadar di bilik mangsa.
Kesan darah pada cadar di bilik mangsa.

Che Zaimani berkata, suspek enggan bedah siasat dibuat ke atas mangsa namun keluarganya meminta agar ia dijalankan.

"Siasatan juga mendapati, terdapat kesan cakar pada kedua belah tangan suspek namun dia mendakwa, dia mendapat kecederaan tersebut ketika mengangkat besi dan menumbuk 'punching bag' di gym," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia