Masjid Besar Paris mahu sijil halal Jakim

Wan Azizah. Foto: Bernama
A
A

PARIS - Pihak pengurusan Masjid Besar Paris (The Grand Mosque of Paris), di sini menyatakan hasrat mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai mengiktiraf pusat penyembelihan mereka.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata hasrat itu disuarakan rektor masjid tersebut Dr Dalil Boubakeur ketika lawatannya ke masjid tersebut pada Selasa.

“Dalam pertemuan dengan Dr Dalil Boubakeur yang turut disertai Mufti Dr Khaled Abou Taleb dan Mufti Cheikh Bozidi hari ini, antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai permintaan mereka supaya Jakim dapat memberi pengiktirafan dan sijil halal untuk pusat penyembelihan masjid tersebut.

“Mereka menyatakan bahawa pusat penyembelihan mereka telah mematuhi segala prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak Jakim dan mahu Jakim memberi akreditasi dan pengiktirafan terhadap pusat penyembelihan mereka,” katanya kepada Bernama dan RTM di sini.

Dr Wan Azizah berkata, beliau telah menyatakan kepada Dr Dalil Boubakeur bahawa hasrat itu akan disampaikan kepada pihak Jakim supaya tindakan seterusnya dapat diambil.

Ditanya mengenai tempoh masa untuk Jakim melaksanakan perkara itu, timbalan perdana menteri berkata ia bergantung kepada jabatan itu yang pastinya perlu melihat sendiri pusat penyembelihan itu dan memantau kerja-kerja penyembelihan.

“Pihak masjid tersebut memang ada sijil mereka sendiri, tapi mereka mahu pengiktirafan daripada Jakim, kerana mereka percaya dengan kredibiliti Jakim yang sangat meyakinkan,” katanya.

Dr Wan Azizah yang dalam rangka lawatan kerja empat hari ke Perancis bermula Ahad, hari ini meluangkan masa kira-kira 40 minit melawat masjid terbesar di Perancis itu dan menunaikan solat Jamak dan solat Sunat di situ.

Masjid itu yang mempunyai ruang solat, taman, perpustakaan kecil dan kafeteria, dibina pada 1922 sebagai memperingati 100,000 Muslim Algeria yang berperang untuk Perancis ketika Perang Dunia Pertama. -Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia