Memilih antara SWN 5G dan 'kartel’ syarikat telekomunikasi

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

PELAKSANAAN 5G adalah penting bagi Malaysia untuk mencapai aspirasi ekonomi digital nasional, dengan ketersambungan internet sebagai utiliti asas yang penting bagi kualiti hidup dan mata pencarian rakyat.

Walau bagaimanapun, usaha negara untuk melaksanakan rangkaian 5G melalui Single Wholesale Network (SWN) telah menarik perhatian dan kritikan pelbagai pihak, dengan beberapa syarikat telekomunikasi terbesar negara akhirnya mengakui pilihan utama mereka adalah untuk pelaksanaan melalui Dual Wholesale Network (DWN).

Motivasi utama kerajaan dalam memilih pendekatan SWN bagi melaksanakan 5G adalah untuk menangani jurang digital di Malaysia khususnya di kawasan bandar dan desa, menjadikan komunikasi sebagai utiliti, menyampaikan penjimatan kos kepada pengguna akhir, dan memastikan akses rangkaian 5G adalah adil dan sama rata kepada semua pemain industri.

Di samping itu, SWN akan mengelakkan pengendali rangkaian mudah alih (Mobile Network Operators atau MNO) membuat pelaburan yang tinggi untuk melaksanakan rangkaian 5G, lalu membolehkan MNO memberi tumpuan kepada penambahbaikan rangkaian 4G dan gentian sedia ada di bawah pelan JENDELA.

Malaysia sudah pun ketinggalan berbanding negara serantau dalam pelaksanaan 5G, oleh itu, berapa lamakah patut kita bertolak ansur lagi dengan kelewatan projek infrastruktur awam yang penting ini?

Pilihan manakah yang paling sesuai untuk memenuhi objektif Kerajaan bagi pelaksanaan 5G yang pantas serta harga jalur lebar mudah alih yang rendah?

Pelaksanaan 5G lebih pantas dengan SWN

Pengkritik SWN telah mencadangkan bahawa DWN boleh mempercepatkan pelaksanaan 5G. Adalah tidak munasabah bahawa pelaksanaan dua rangkaian borong akan lebih pantas berbanding pelaksanaan satu rangkaian.

Pelaksanaan dua rangkaian borong 5G akan menyebabkan pertindihan tapak stesen pangkalan, peralatan, pengurusan projek dan banyak lagi. Selain itu, lebih banyak kerja dan usaha akan perlu dilakukan, di mana lebih banyak masa akan diperlukan untuk melaksanakan dua rangkaian borong 5G.

Pada asasnya, kelajuan pelaksanaan bergantung kepada sumber tenaga kerja yang ada memandangkan penempatan stesen pangkalan boleh dipasang secara selari.

Malaysia hanya mempunyai bilangan pekerja berkemahiran yang terhad untuk melaksanakan tugas-tugas ini. Memandangkan DWN memerlukan lebih banyak tapak dan terdapat kumpulan tenaga kerja yang terhad, maka pelaksanaan 5G DWN secara amnya akan mengambil masa yang lebih lama.

Selain itu, peralihan daripada SWN kepada DWN pastinya akan melewatkan lagi pelaksanaan rangkaian 5G kerana proses pembatalan kontrak yang akan memakan masa, dan juga proses pembentukan konsortium baru yang mencabar.

Pengendali rangkaian mudah alih juga akan sukar untuk mencapai persetujuan secara bersama memandangkan wujudnya persaingan di antara satu sama lain.

5G lebih murah dengan SWN

Artikel Berkaitan:

Hujah kedua ialah kos kepada pengguna akhir. Secara ringkas, peralihan daripada SWN kepada DWN akan mengakibatkan harga runcit yang lebih tinggi untuk perkhidmatan 5G. Penggubal dasar negara harus diingatkan bahawa model SWN yang telah diwujudkan adalah model yang menetapkan harga perkhidmatannya berdasarkan model pemulihan kos.

Pelaksanaan rangkaian dual wholesale seperti yang dicadangkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi akan memerlukan dua kali lebih banyak jumlah pembinaan stesen pangkalan. Selain itu, DWN yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi juga akan berdasarkan keuntungan. Oleh itu, harga kepada pengguna akhir akan menjadi lebih mahal di bawah DWN.

Lebih banyak inovasi perkhidmatan dengan SWN

Hujah ketiga yang dikemukakan ialah DWN akan dapat memupuk lebih banyak persaingan dan inovasi berbanding model SWN. Bertentangan dengan apa yang dikatakan oleh sesetengah pengkritik, persaingan dan inovasi perkhidmatan sebenarnya akan berkurangan di bawah model DWN.

Bayangkan situasi di mana terdapatnya dua rangkaian borong, di mana salah satu daripada rangkaian ini dimiliki dan dikendalikan oleh konsortium swasta daripada sektor telekomunikasi.

Ini adalah mirip sebuah “kartel syarikat telekomunikasi”, di mana ahli-ahlinya akan 'membeli' kapasiti borong pada harga yang rendah dan menjualnya kepada pengguna akhir pada harga yang lebih tinggi.

Tidak akan ada sebarang persaingan dalam industri ini kerana ia akan dimiliki oleh pemain-pemain yang sedia ada. Malahan, tiada insentif untuk pemain industri menawarkan inovasi berasaskan perkhidmatan yang selari dengan objektif pendigitalan nasional, yang bakal membawa pertumbuhan KDNK dan penciptaan peluang pekerjaan.

Sebaliknya, persaingan runcit akan menjadi lebih kukuh di bawah model SWN di mana perkhidmatan borong 5G akan dapat ditawarkan tanpa diskriminasi kepada syarikat-syarikat telekomunikasi serta pengendali rangkaian maya mudah alih (Mobile Virtual Network Operator atau MVNO).

MVNO adalah syarikat-syarikat telekomunikasi yang bergantung kepada infrastruktur rangkaian, tetapi tidak memiliki infrastruktur tersebut untuk menyediakan perkhidmatan buat pelanggan mereka. SWN akan membolehkan MVNO memberi persaingan yang sangat diperlukan dalam menyediakan perkhidmatan digital yang baharu dan dipertingkatkan dalam pasaran.

Sesungguhnya, inovasi di peringkat borong akan didorong oleh badan piawaian antarabangsa dan vendor peralatan global, dan bukannya oleh pengendali rangkaian borong. Jadi, Malaysia tidak mungkin akan mempunyai sebarang perbezaan ketara di antara model SWN dan DWN dalam aspek inovasi borong dalam perkhidmatan 5G.

Lebih banyak kapasiti dengan SWN

Akhir sekali, penyokong DWN berhujah bahawa rangkaian dual wholesale akan mempunyai kapasiti dua kali ganda berbanding SWN. Ini tidak benar. Kapasiti rangkaian mudah alih adalah berdasarkan pada jumlah spektrum radio yang disediakan, dan memandangkan jumlah spektrum 5G sudah ditetapkan, kapasiti rangkaian 5G secara amnya tidak akan berubah sama ada terdapat satu rangkaian menggunakan semua spektrum atau dua menggunakan separuh spektrum setiap satu.

Dengan hujah-hujah ini, maka pelaksanaan rangkaian 5G melalui model SWN akan dapat membawa kepada pelaksanaan yang lebih cepat, kos perkhidmatan yang lebih murah kepada pengguna akhir, menggalakkan inovasi perkhidmatan dan menyediakan kapasiti rangkaian 5G yang lebih besar.

Kerajaan harus meneruskan pelaksanaan 5G untuk mencapai dasar objektif negara yang telah ditetapkan; dan pada masa yang sama memastikan DNB dipertanggungjawabkan melalui kawal selia ketat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Malah penukaran dasar SWN akan menyebabkan lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan, dan merosakkan imej dan reputasi negara di kalangan komuniti pelaburan antarabangsa.

Sama seperti rizab petroleum dan gas, spektrum 5G adalah sumber negara yang terhad dan mesti digunakan dengan cara yang paling cekap untuk manfaat negara dan rakyat.

Malaysia perlu dilengkapi dengan infrastruktur yang lebih baik yang mampu menggalakkan perkhidmatan baharu dan inovatif supaya negara lebih kompetitif berbanding rakan serantau kita, dalam menarik pelaburan asing.