Jumlah pekerja tertekan meningkat jika tak ditangani

Gambar hiasan -Foto Heart.org
Gambar hiasan -Foto Heart.org
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah penjawat awam yang tertekan akan terus meningkat jika masalah ini tidak ditangani dengan baik.

Presiden Persatuan Pegawai Psikologi Perkhidmatan Awam (PSIPA), Dr Abdul Jalil Hassan berkata, ini kerana masalah tekanan dan kesihatan mental bukan perkara baharu sebaliknya menunjukkan peningkatan saban tahun.

"Malah, kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan kesihatan mental akan menjadi punca penyakit nombor satu menjelang 2020. Kesihatan mental juga akan jadi penyakit nombor dua dunia penyebab kepada penyakit-penyakit lain.

"Trend ini juga boleh berlaku di Malaysia. Jumlah 400,000 penjawat awam yang tertekan mungkin akan meningkat jika kita tidak ambil tindakan sewajarnya," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda bahawa lebih 400,000 penjawat awam tertekan dengan kerja sehingga mengalami tekanan jiwa bahkan ada yang diberikan kad psikiatri.

Menurut Abdul Jalil, pekerja yang mengalami tekanan perlu dibantu kerana ia boleh menjejaskan produktiviti dan penumpuan terhadap kerja mereka.

"Kalau tekanan jiwa disebabkan stres, kita masih boleh bantu. Tapi kalau sakit mental, perlu fasa kedua untuk ambil tindakan.

"Sebab itu, mereka yang alami tekanan dan tidak tahu untuk uruskan, kena jumpa orang yang boleh bantu. Dalam perkhidmatan awam, kita memang ada pegawai khusus untuk bantu kakitangan yang ada masalah tekanan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, setiap kerja mempunyai tekanan tetapi ia bergantung kepada cara seseorang itu menghadapinya.

"Seseorang itu kena atasi tekanan agar ia tidak mempengaruhi hingga hilang semangat dan motivasi. Jika tekanan disebabkan banyak kerja, kita kena rancang pekerjaan kita supaya tak membebankan," katanya.