Aswara bakal anjurkan 162 program seni dan budaya tahun ini

Nancy
Nancy
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelancaran Kalendar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) 2022 dan Festival World Arts Education and Culture Events (WAVE) 2021 menjadi titik permulaan bagi akademi itu mengorak langkah untuk lebih maju kehadapan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sebanyak 162 program secara fizikal dan dalam talian akan dianjurkan Aswara tahun ini sekali gus menunjukkan komitmen ke arah tahun 2022 yang lebih progresif.

Menurutnya, langkah aktif Aswara itu akan merancakkan semula industri pelancongan, seni dan budaya negara selain kesungguhan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam melaksanakan kesemua lapan teras utama pelan strategik untuk tempoh 2021 sehingga 2025.

"Strategi kelima pelan strategik MOTAC 2021-2025 iaitu memperkasakan jaringan kerjasama strategik melibatkan bidang kerjasama pintar industri dan kerjasama strategik kerajaan.

Ia menyumbang kepada peningkatan sosial ekonomi negara, daya saing industri serta pengiktirafan terhadap aset bernilai negara.

"Oleh itu, penganjuran WAVE 2021 yang merupakan satu lagi kejayaan MOTAC menerusi Aswara menjadi pendorong untuk kita meningkatkan komitmen ke arah tahun 2022 yang lebih progresif," katanya dalam ucapan pelancaran Kalendar Aswara 2022 dan Kemuncak WAVE 2021 di Dewan Okestra Aswara pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Aswara di atas kejayaan melaksanakan sebanyak 325 program secara fizikal dan dalam talian sepanjang tahun lalu walaupun pada ketika negara sedang dilanda penularan Covid-19.

Nancy berkata, Aswara membuktikan pelaksanaan program dan aktiviti seni budaya tidak terhenti begitu sahaja dan dapat diteruskan dengan menerapkan penggunaan teknologi yang terkini.

Artikel Berkaitan:

Nancy ketika merasmikan Kalendar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) 2022 dan Festival World Arts Education and Culture Events (WAVE) 2021.
Nancy ketika merasmikan Kalendar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) 2022 dan Festival World Arts Education and Culture Events (WAVE) 2021.

"Saya yakin pasukan kerja Aswara akan terus bersama-sama menggandakan usaha ke arah menjadikan Aswara sebuah institusi pengajian tinggi dalam bidang pendidikan seni, budaya dan warisan.

Ia juga dapat melahirkan modal insan cemerlang dan berkualiti seterusnya disegani di dalam dan di luar negara.

"Ini seiring dengan strategi kelapan pelan strategik MOTAC tahun 2021-2025 iaitu membangunkan modal insan untuk menyediakan tenaga kerja yang kompeten dan berkemahiran tinggi.

"Saya juga yakin Aswara akan terus memastikan dasar kebudayaan negara sekali gus memacu industri seni, budaya dan warisan melalui bidang pendidikan berjalan seperti dirancang," katanya.

Sementara itu, Rektor Aswara, Profesor Ts Dr Ruslan Abdul Rahim berkata, sebanyak 12 program daripada 162 aktiviti yang dirancang pada tahun ini bersempena dengan acara Kemuncak WAVE 2021.

Beliau berkata, kemuncak festival tersebut merupakan program pendidikan untuk seni dan budaya yang menggabungkan seni persembahan, kontemporari dan tradisional melalui muzik, teater, tarian filem serta animasi.

"Selain daripada pementasan pentas dan seni persembahan, Aswara turut menyediakan aktiviti berbentuk kapsul bagi meningkatkan kesedaran, kefahaman, pengalaman dan apresiasi dalam seni.

"Ia dilaksanakan melalui bengkel, seminar, forum, masterclass, showcase adiguru dan pameran seni visual," katanya.