Sila log masuk terlebih dahulu.

Mangsa banjir di Terengganu meningkat, Kelantan menurun

Pemandangan udara menunjukkan sekitar Pekan Rantau Panjang yang dilanda banjir akibat limpahan air dari Sungai Golok ketika tinjauan pada Isnin. - Foto Bernama
Pemandangan udara menunjukkan sekitar Pekan Rantau Panjang yang dilanda banjir akibat limpahan air dari Sungai Golok ketika tinjauan pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat manakala di Kelantan menurun setakat 8 malam Isnin.

Di TERENGGANU, jumlah penduduk terjejas akibat banjir meningkat kepada 14,002 orang daripada 3,888 keluarga berbanding 13,530 orang daripada 3,735 keluarga pada tengah hari Isnin.

Setakat ini terdapat 159 pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu 35 di Besut, Dungun (29), Setiu (28), Hulu Terengganu (28), Kemaman (23), Kuala Terengganu (sembilan), Kuala Nerus (enam) dan Marang (satu).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, jumlah mangsa tertinggi ialah di Kemaman seramai 4,420 orang diikuti Hulu Terengganu (3,696), Dungun (1,999), Besut (1,622), Setiu (1,291), Kuala Terengganu (622), Kuala Nerus (347) dan Marang (lima).

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan hanya empat sungai di empat daerah masih berada di paras bahaya iaitu Sungai Kemaman di Daerah Kemaman, Sungai Nerus (Setiu), Sungai Dungun (Dungun) dan Sungai Terengganu (Kuala Terengganu).

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir menurun kepada 8,054 orang daripada 2,600 keluarga berbanding 8,920 orang daripada 2,862 keluarga petang Isnin.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan sebanyak 50 PPS dibuka melibatkan 22 di Pasir Mas, Tanah Merah (10), Kuala Krai (lapan), Pasir Puteh (enam), Machang (tiga) dan Jeli (satu).

Sementara itu, portal rasmi info banjir JPS menerusi laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan dua sungai utama di negeri itu berada pada paras bahaya iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah merekodkan bacaan 24.03 meter (m) dan Sungai Kelantan di Temangan, Machang (20.20m). - Bernama

Artikel Berkaitan: