Sungai Ampang keruh, tercemar?

Gambar tular yang menunjukkan keadan sungai yang keruh.
A
A

LEMBAH JAYA – ADUN Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha meminta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hulu Langat menjalankan siasatan ke atas Sungai Ampang kerana disyaki tercemar.

Haniza berkata, permintaan berkenaan berikutan tular gambar sungai keruh dan bertukar warna di media sosial yang dikatakan sungai berkenaan.

Bagaimanapun beliau menasihatkan supaya penduduk tidak panik dan sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan yang disyaki tercemar sehingga hasil siasatan diperolehi.

“Tindakan lanjut akan diambil sekiranya benar sungai tersebut didapati tercemar dengan bahan berbahaya,” katanya.

Menurutnya, orang ramai juga diminta untuk tidak menyebarkan berita palsu berkenaan pencemaran sungai di Ampang sehingga laporan siasatan dikeluarkan oleh JPS Hulu Langat.

“Sekiranya disyaki kawasan sungai kawasan kediaman anda tercemar dengan bahan berbahaya, anda boleh terus menghubungi Jabatan Pengairan dan Saliran di kawasan anda supaya langkah berjaga-jaga boleh dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) Selangor, Azmi Ibrahim ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan pihaknya sedang menyiasat punca kejadian.

“Tindakan lanjut juga akan diambil sewajarnya,” katanya.