Ibu terpaksa tinggal anak OKU untuk bekerja

Keadaan Hamimi Nur Aisyah yang terlantar dan memerlukan susu khas.
A
A

KUANTAN – Seorang ibu tunggal dari Taman Jengka Impian Bandar Pusat Jengka, memerlukan kewangan bagi membantu meringankan beban menyara tiga anak termasuk seorang yang menghidap Cerebral Palsy.

Rahayu Sapie, 47, berkata, tiga anaknya berusia 14, 10 dan enam tahun berada di bawah jagaannya sejak bercerai dengan bekas suaminya beberapa tahun lalu.

Menurutnya, anak pertama, Hamimi Azrina Hamidi, 14 dan anak ketiga, Hamimi Qaseh Kamilia normal dan telah bersekolah manakala anak kedua, Hamimi Nur Aisyah disahkan kelainan upaya sejak berusia empat bulan.

“Sebelum ini saya bekerja di sebuah kedai makan di Bandar Pusat Jengka. Waktu kerja saya terpaksa tinggalkan anak seorang di rumah dengan bantuan jiran.

“Tapi sejak dua minggu ni kedai tempat kerja saya tutup sebab pemiliknya ada masalah kesihatan jadi saya tidak bekerja dan alami kesempitan kewangan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, baru-baru ini.

Rayahu terpaksa bekerja bagi menampung perbelanjaan keluarga.
Rayahu terpaksa bekerja bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Rahayu berkata, beliau merupakan penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM350 setiap bulan.

"Wang itu saya belanja bayar sewa rumah RM300 sebulan, keperluan dapur dan perbelanjaan anak- anak," katanya yang menerima bantuan zakat sejak 2018 sebanyak RM600.

Bagaimanapun, katanya wang berkenaan tidak mencukupi dan dia perlu bekerja.

Menurutnya, wakil UMNO Kuala Krau dan ADUN Jengka yang prihatin melawat mereka sekeluarga dan menghulurkan sumbangan selain pihak Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh yang memberi sumbangan kerusi roda untuk Hamimi Nur Aisyah.

Terdahulu tular di media sosial mengenai seorang individu yang menziarahi Rahayu dan meminta orang ramai yang bersimpati untuk memberikan sumbangan kepada keluarga tersebut.

Menurutnya, penjagaan anak keduanya memerlukan kewangan yang tinggi iaitu sekitar RM150 sebulan untuk lampin pakai buang, RM80 untuk nestum dan RM150 susu formula.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Rayahu menerusi 011 29951 266 dan menghulurkan sumbangan di Bank Simpanan Nasional melalui akaun 0630041000069432