Banjir: 109 PPS dibuka di pantai timur

Keadaan banjir di Kelantan.
Keadaan banjir di Kelantan.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 109 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka untuk mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan yang menempatkan 7,745 mangsa daripada 1,820 keluarga setakat jam 8 malam Sabtu.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, daripada jumlah itu sebanyak 77 PPS beroperasi di Terengganu manakala selebihnya di Kelantan.

Menurut kenyataan itu, petugas JKM di kawasan terkesan telah digerakkan untuk mengurus mangsa banjir bersama agensi lain mengikut keperluan dan peranan masing-masing.

"Pihak JKM telah mengedarkan bantuan makanan bermasak dan barang keperluan asas kepada semua mangsa bencana yang berada di PPS.

"Keadaan pada masa ini terkawal dan bekalan makanan juga mencukupi," katanya.

Dalam pada itu, semua mangsa dan petugas-petugas di PPS diingatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Orang ramai yang terlibat dalam bencana banjir juga dinasihatkan mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah ke tempat yang selamat," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, tanggungjawab JKM untuk membantu mangsa banjir dan pengurusan bencana dilaksanakan berdasarkan arahan No.20 Majlis Keselamatan Negara (MKN 20).

Artikel Berkaitan:

"JKM dipertanggungjawabkan menyedia dan menyelenggara PPS termasuk mengedarkan bantuan makanan, pakaian serta keperluan asas untuk mangsa banjir.

"Selain itu, JKM turut menguruskan pendaftaran mangsa bencana dan memberi bimbingan serta kaunseling kepada mereka," katanya.

Dalam pada itu, data statistik mangsa bencana yang berpindah ke PPS di seluruh negara boleh disemak menerusi sistem Infobencana JKM 2.0 yang dikemas kini setiap empat jam sehari.

Maklumat terkini boleh diakses dari sistem itu dengan memuat turut aplikasi Infobencana JKM 2.0 melalui Apps Store atau Play Store.

Orang ramai juga boleh menghubungi Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam dan Bilik Gerakan JKM yang boleh dilayari di portal www.jkm.gov.my.