Covid-19: Kes libatkan kanak-kanak semakin meningkat di Labuan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

LABUAN - Kes Covid-19 melibatkan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun semakin meningkat di Labuan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, setakat Ahad, seramai 54 kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun dijangkiti virus itu manakala 219 kes lagi membabitkan kanak-kanak berusia 13 tahun ke atas.

"Buat masa ini terdapat 10 orang kanak-kanak di bawah umur 12 tahun sedang dirawat iaitu lima orang di hospital dan lima lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

"Baki 44 orang sedang menjalani kuarantin di rumah dan kanak-kanak ini berada di bawah kategori dua Covid-19,” katanya kepada Bernama pada Isnin

Dr Ismuni berkata, pihaknya sedang memantau secara serius bilangan jangkitan membabitkan kanak-kanak, sambil menekankan bahawa kes berkaitan kumpulan itu meningkat secara berterusan sejak minggu lepas.

"Terdapat 82 kes baharu melibatkan kanak-kanak di bawah 12 tahun pada 23 Februari, sebelum menurun ke 65 kes pada 26 Feb dan 54 semalam, tetapi kami tidak dapat meramal (trend) untuk beberapa hari akan datang,” katanya.

Dr Ismuni berkata, bilangan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun yang menerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-Kanak (PICKids) masih belum mencapai sasaran sejak ia dilancarkan pada 7 Februari lepas.

"Kami menjangkakan untuk menjalankan PICKids selama sebulan (dari 7 Februari), namun bilangan kanak-kanak yang menerima dos pertama mereka belum melebihi 50 peratus daripada jumlah 11,700 yang disasarkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, setakat ini hanya 23.94 peratus, atau 2,801 kanak-kanak, yang telah menerima suntikan vaksin tersebut di empat pusat vaksinasi sedia ada, iaitu Hospital Labuan, dewan Kompleks Darul Kifayah, Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan 2 dan SK Sungai Lada.

Labuan merekodkan kes baharu tiga digit sejak minggu lepas iaitu 311 kes semalam termasuk dua kes yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU). - Bernama