Tiada prasangka politik dalam penyediaan geran MPKK

Datuk Seri Rina Mohd Harun
Datuk Seri Rina Mohd Harun
A
A
A

GEORGETOWN - Penyediaan geran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar dilaksanakan dengan cara yang profesional tanpa sebarang prasangka politik.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kementerian menyediakan mekanisme yang telus dalam mengendalikan permohonan geran terutamanya dari aspek penilaian permohonan geran diputuskan melalui Jawatankuasa Khas dianggotai antaranya Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Pembangunan Negeri agensi negeri yang berkaitan.

"Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan tidak membuat tanggapan negatif terhadap kesetiaan dan keupayaan agensi-agensi terutamanya di bawah kementerian yang mengurus geran ini.

"Kita harus sedar, kesejahteraan rakyat di bawah hala tuju baru kementerian adalah untuk semua rakyat," katanya semasa berucap pada Majlis Interaksi Menteri Pembangunan Luar Bandar bersama MPKK Pulau Pinang dan Perlis di Seberang Jaya dekat sini, malam ini.

Seramai 1498 Pengerusi dan Setiausaha MPKK dari Pulau Pinang dan Perlis menghadiri majlis itu.

Dalam pada itu Rina berkata, MPKK juga disarankan untuk meluaskan lagi kerjasama dengan agensi kerajaan di daerah, wakil rakyat malah ahli kariah sendiri untuk mendapat kemudahan seperti bilik gerakan, komputer dan lain-lain keperluan untuk kegunaan masyarakat.

"Tidak seharusnya semua perkara disediakan oleh kerajaan sebaliknya ia juga boleh dikenalpasti dari sumber-sumber lain.

"Di bawah kementerian sendiri, agensi seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di Pulau Pinang dan pejabat kementerian pembangunan luar bandar negeri boleh dihubungi untuk berbincang bagi mendapatkan kemudahan asas seperti jalan raya dan bantuan perniagaan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: