Kekecohan di Dewan Rakyat bukan sesuatu berlaku setiap hari

Mohamad Ariff
Mohamad Ariff
A
A
A

KUALA LUMPUR - Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Yusof berkata rakan sejawatannya dari Singapura Tan Chuan Jin berada pada ‘waktu dan ketika yang tidak kena’ apabila menyaksikan kekecohan di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad Ariff bagaimanapun memberi jaminan kepada Speaker Parlimen Singapura dan delegasinya itu bahawa kekecohan itu bukan sesuatu yang berlaku setiap hari semasa sesi persidangan Parlimen Malaysia.

"Saya beri jaminan kepada anda dan delegasi anda, bahawa ia (kekecohan) bukan berlaku setiap hari. Seperti apa yang sering disebut, anda berada "at the wrong place, at the wrong time” semasa di Parlimen Malaysia hari ini. Namun ia (kekecohan) menunjukkan kepada anda rencam suasana yang boleh terjadi, yang boleh memberikan masalah kepada speaker,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis ‘Speaker's Lecture Series - Governance in Singapore - A Parliamentary Perspective’ di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Terdahulu Tan dan delegasinya semasa berada di Dewan Rakyat, sempat menyaksikan ‘peristiwa’ ketika Ahli Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar membantah arahan supaya keluar dari persidangan Dewan selama tiga hari yang dikenakan oleh Timbalan Speaker Nga Kor Ming. Timbalan Speaker Datuk Mohd Rashid Hasnon, membacakan arahan berkenaan sekali lagi selepas melihat Noh masih berada di tempatnya, namun Noh berdiri dan mempersoalkan arahan itu yang menurutnya dibuat semasa beliau tidak hadir.

Beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional, termasuk Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian) dan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (Kuala Krau) mempertahankan tindakan Noh dengan membangkitkan peristiwa tindakan Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang yang juga enggan keluar semasa diarahkan Speaker dalam persidangan Parlimen sebelum ini.

Mohd Rashid kemudian meminta semua Ahli Parlimen bertenang dan menghormati Dewan sebelum membenarkan Noh duduk di tempatnya sehingga tamat sesi pagi persidangan.

Namun ia pula menyebabkan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan, termasuk Khoo Poay Tiong (Kota Melaka), Chang Lih Kang (Tanjong Malim) dan RSN Rayer (Jelutong) membantah, sebelum Mohd Rashid menangguhkan persidangan. -Bernama

Artikel Berkaitan: