Nafas meterai MoU bernilai RM100 juta di Dubai

Entri (kiri, barisan hadapan) bertukar dokumen dengan Shahab (kanan, barisan hadapan) pada majlis MoU antara Nafas dan ARJ Holding yang diadakan di Dubai, baru-baru ini.
Entri (kiri, barisan hadapan) bertukar dokumen dengan Shahab (kanan, barisan hadapan) pada majlis MoU antara Nafas dan ARJ Holding yang diadakan di Dubai, baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM100 juta bersama ARJ Holding L.L.C (ARJ Holding), salah satu syarikat yang terbesar berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk mengadakan usaha sama dalam perniagaan ternakan ruminan, perdagangan minyak masak dan pembuatan selulos dari bahan biomas.

Majlis menandatangani MoU yang diadakan di Dubai, UAE disempurnakan Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Sylvester Entri Muran manakala ARJ Holding pula diwakili Presiden Kumpulannya, Shahab Ahmed Ramadhan Juma.

Turut menyaksikan perjanjian ini ialah Ahli Jemaah Pengarah Nafas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Nafas, Mohammad Bahrin Abd Karim.

No Image Caption

Hadir sama Kaunselor Pejabat Perwakilan Pertanian (Dubai UAE), Mohd Zahirul Naqi Shoaib; Pengurus Kanan Pengurusan Perniagaan; Baharozaman Mohid dan Pengurus Bahagian Pemasaran dan Promosi, Mohammad Fauzie Tamin.

Mengulas lanjut mengenai MoU berkenaan, Entri berkata, kerjasama itu antara lain dapat menjalinkan hubungan perniagaan bagi memacu pertanian lestari antara dua negara dan juga titik permulaannya ‘peluang perniagaan’ secara besar-besaran melalui teknologi terkini.

“Nafas percaya kerjasama sebegini akan digunakan untuk faedah bersama ARJ Holding dan menyumbang kepada penambahbaikan aktiviti yang dipersetujui,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Entri berkata, Nafas dan ARJ Holding akan menyediakan pengaturan terperinci dalam mengenal pasti tanggungjawab masing-masing untuk melaksanakan perjanjian yang terdiri daripada perbincangan, perancangan strategi pelaburan dan pelaksanaan aktiviti pelaburan selepas pemeteraian MoU ini.

Artikel Berkaitan:

Entri (lapan dari kanan) dan Shahab (tujuh dari kiri) bersama delegasi kedua-dua negara selepas memeterai MoU berkenaan yang diadakan di Dubai, baru-baru ini.
Entri (lapan dari kanan) dan Shahab (tujuh dari kiri) bersama delegasi kedua-dua negara selepas memeterai MoU berkenaan yang diadakan di Dubai, baru-baru ini.

“Kedua-dua syarikat akan berusaha untuk membantu dan menyokong di antara satu sama lain untuk skop kerjasama MoU ini yang akan memberi manfaat bersama kedua-dua pihak dan Malaysia serta UAE.

“Nafas akan berusaha mengambil langkah bagi menggalakkan kerjasama dalam menjalankan aktiviti pelaburan yang menguntungkan dan meningkatkan sinergi antara kedua-dua pihak mengikut kesesuaian semasa,” katanya.

Majlis pemeteraian MoU itu diadakan sempena minggu Pertanian Lestari Malaysia di Expo 2020 Dubai.

No Image Caption

Ia adalah satu inisiatif penting yang akan memacu dan meningkatkan peluang pelaburan dan kerjasama dalam pertanian lestari.

Pelbagai program menarik dianjurkan Nafas pada minggu berkenaan antaranya sesi ‘pocket talk’, ‘business matching’, sesi pengenalan produk Peladang dan demo masakan oleh Chef Rene.

Nafas berada di Dubai sempena Ekspo 2020 Dubai dari 20 Februari hingga 26 Februari di Pavilion Malaysia yang dihoskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dengan Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) sebagai agensi pelaksana.