Fenomena salji di Gunung Kinabalu bukan mustahil

Laporan Sinar Harian mengenai video tular salji turun di Gunung Kinabalu pada Isnin.
Laporan Sinar Harian mengenai video tular salji turun di Gunung Kinabalu pada Isnin.
A
A
A

KOTA KINABALU - Fenomena salji turun di Gunung Kinabalu bukan perkara mustahil bagi kawasan tanah tinggi apabila suhu udara mencecah sehingga sifar darjah celcius.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, situasi atau fenomena cuaca yang berlaku di Gunung Kinabalu dikenali sebagai salji.

"Ia bukanlah satu perkara yg mustahil berlaku bagi tanah tinggi seperti di Gunung Kinabalu disebabkan apabila suhu udara mencecah 0 darjah celcius atau darjah di bawah daripada suhu tersebut, salji boleh terbentuk dengan syarat adanya kelembapan yang mencukupi.

"Jadi biasanya apa yg berlaku ialah kita boleh lihat 'frost' iaitu ketulan ais yang berada di permukaan bumi, biasanya di batuan yang sejuk," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas fenomena salji yang turun di Gunung Kinabalu pada awal pagi Isnin.

Beliau bagaimanapun berkata, salji juga boleh berlaku dalam keadaan tertentu apabila suhunya sejuk di bawah takat beku dan adanya kelembapan yang mencukupi.

"Dalam keadaan cuaca ini atau biasanya keadaan anginnya adalah agak perlahan atau tidak berangin. Jadi itu boleh menyumbangkan kepada pembentukan salji tersebut.

"Ini suatu fenomena yang jarang kita lihat tetapi boleh berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, tular video berdurasi satu minit menunjukkan salji turun di Gunung Kinabalu.

Sinar Harian turut melaporkan seorang pelatih laluan Via Ferrata yang berada di lokasi iaitu di Sayat-Sayat Check Point merasai sendiri salji turun di puncak Gunung Kinabalu.