Pencemaran kimia: Dua lagi suspek ditahan

Sidang media selepas menghadiri taklimat pengurusan bencana di luar pekarangan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini, hari ini.
Sidang media selepas menghadiri taklimat pengurusan bencana di luar pekarangan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini, hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Polis menahan dua lagi suspek bagi membantu siasatan berhubung kes pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, kedua-dua suspek itu dipercayai adalah individu yang mempunyai kaitan dengan kilang untuk mengeluarkan sisa kimia tersebut.

“Sebelum ini polis telah menahan seramai sembilan suspek bagi membantu siasatan berkaitan kes ini. Hasil siasatan daripada tangkapan suspek itu kita kemudiannya menahan dua lagi lelaki.

“Termasuk dua lelaki itu suspek yang ditahan adalah berusia 27 hingga 41 tahun. Untuk makluman dua lelaki yang baharu ditahan ini adalah kerana disyaki telah membenarkan suspek memindahkan sisa toksik untuk proses seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri taklimat pengurusan bencana di luar pekarangan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini, hari ini.

Mohd Khalil berkata, siasatan lanjut yang dilakukan terhadap sembilan suspek sebelum ini, polis juga berjaya menemui sebuah lori disyaki digunakan untuk mengangkut bahan kimia itu.

Dalam masa sama, beliau memberitahu, sembilan suspek yang ditahan, lapan daripada kini sudah direman manakala seorang daripada diberi jamin polis kerana tiada kaitan.

“Manakala, dua lagi suspek yang disyaki mempunyai kaitan dengan kilang itu pula direman tujuh hari bermula hari ini hingga 25 Mac depan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 278, Seksyen 284 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.