Rt Covid-19 terus catat penurunan

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu bahawa kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 mengikut kes harian terus menunjukkan penurunan apabila berada pada 1.05 pada Ahad.

Bagaimanapun beliau berkata, masih terlalu awal untuk mengatakan bahawa negara telah melepasi gelombang Omicron.

“Rt harian kita telah turun secara berterusan iaitu kepada 1.05, namun terlalu awal untuk mengatakan kita telah melepasi gelombang Omicron,” ciapnya di Twitter milik beliau pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut memuat naik tangkap layar portal CovidNow yang melaporkan sebanyak 96 peratus individu sedang menjalani kuarantin di rumah, malah kapasiti di hospital juga terkawal apabila mencatatkan 2.6 peratus sahaja.

“Justeru, jika ia menunjukkan trend berterusan, maka pembukaan sempadan secara menyeluruh dan langkah domestik yang lebih santai akan menyusul. #BukaSemulaDenganSelamat,” ciapnya.

Pada Isnin, KKM memaklumkan kes harian Covid-19 mencatatkan penurunan pada Ahad iaitu sebanyak 24,466 kes berbanding 27,299 kes pada Sabtu, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang sudah dijangkiti virus itu adalah sebanyak 3,421,802 kes.

Daripada keseluruhan jumlah tersebut, sebanyak 24,220 kes adalah penularan tempatan, manakala 246 lagi adalah kes import.

Artikel Berkaitan: