Proses land swap bertentangan peraturan kewangan

Dr Mahathir ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Siri Ketujuh Bilangan 2 Tahun 2019 di Bangunan Perdana Putra hari ini. -Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Laporan Akhir Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan ke atas Perlaksanaan 'Land Swap' di Kementerian Pertahanan dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) hari ini menunjukkan bahawa kaedah land swap yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu bertentangan dengan peraturan kewangan.

Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan itu juga mengenalpasti kes-kes 'land swap' yang tidak mengikut tatacara perolehan kerajaan dimana kaedah land swap itu dilaksanakan bagi tujuan penambahan pengundi di kem-kem tentera ketika pilihan raya.

Menghuraikan laporan jawatankuasa itu selepas mempengerusikan mesyuarat JKKMAR di Perdana Putra di sini hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kem-kem itu dibina untuk pilihan raya supaya askar-askar boleh ditempatkan di kem-kem tersebut dan mengundi di kawasan tertentu.

"Ini adalah satu kesalahan. Kita dapati bahawa banyak tanah yang dilakukan secara land swap supaya cepatnya kem-kem (tentera) ini didirikan.

"Ada kes yang mana selepas pilihan raya, kem-kem ini dikosongkan,"katanya. Menurut kenyataan JKKMAR yang dikeluarkan sempena mesyuarat hari ini, tindakan undang-undang dicadang diambil terhadap pihak yang terlibat dalam isu tersebut.

Pada bulan lepas, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mendedahkan pembinaan dua kem tentera di Paloh, Johor dan Hutan Melintang, Perak didapati bukan keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, pembinaan itu dibuat atas perintah pemimpin Barisan Nasional terdahulu bagi memindahkan pengundi ke kawasan itu atas dasar kepentingan politik mereka.

Sebelum ini, Kementerian Pertahanan turut menyerahkan laporan siasatan dalaman membabitkan land swap dua buah kem tentera kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas didapati ia merugikan kerajaan dan mengancam kepentingan strategik negara. -Bernama