Penduduk Pulau Tioman nikmati internet lebih baik, stabil

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Penduduk Pulau Tioman menikmati kemudahan Internet yang lebih baik dan stabil selepas pemasangan rangkaian gentian optik di Kampung Salang, Kampung Paya dan Kampung Genting di pulau peranginan tersebut siap baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata kemudahan itu secara langsung memanfaatkan hampir 1,000 premis kediaman dan komersial di kampung terlibat serta kawasan sekitar.

Ini termasuk Kampung Tekek, Air Batang dan Kampung Juara.

"Projek menaik taraf yang dilakukan oleh Telekom Malaysia di Pulau Tioman bermula sejak September tahun lepas. Ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan Jalinan Digital Negara (Jendela) bagi daerah Rompin," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook beliau.

Pelaksanaan Jendela di Rompin menyasarkan sebanyak 4,937 premis disambung dengan rangkaian gentian optik menjelang hujung tahun ini selain perancangan membina 32 menara telekomunikasi baharu.

Daripada jumlah itu, empat menara telekomunikasi itu telah siap pada tahun lepas iaitu di Felda Selancar Tiga, Felda Keratong Lima, Mekassar Estate dan Ladang Sungai Seraya.

Bagi projek menaik taraf stesen pemancar ke rangkaian 4G pula, ia melibatkan 121 buah stesen pemancar dengan 93 stesen daripadanya sudah siap dinaik taraf manakala bakinya dijangka siap pada Mac ini.

Beliau berkata, kampung Orang Asli di Rompin juga tidak ketinggalan dalam pelaksanaan Jendela melibatkan penyediaan internet menggunakan teknologi satelit di Kampung Bukit Lepas dan Kampung Banai manakala kemudahan di Kampung Tanah Runtuh dijangka siap hujung Mac ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: