Paras empangan air di Rantau Panjang, Pasir Mas hampir kritikal

Foto arkib
A
A

KOTA BHARU - Cuaca panas kering dan tiada hujan direkodkan sejak beberapa minggu lalu menyebabkan paras air di Empangan Bukit Kwong dekat Rantau Panjang, Pasir Mas semakin susut.

Menurut Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Kamal Mustapha, bacaan paras air di empangan berkenaan kini berada pada paras 14.20 meter (m) berbanding paras normal iaitu 16.76 m.

Beliau berkata empangan berkenaan sebelum ini adalah bekalan untuk pertanian di sekitar Rantau Panjang bagi keperluan ladang getah dan kelapa sawit.

"Bacaan paras air di sini trendnya masih tidak berubah malah dalam tempoh 24 jam lalu juga tiada sebarang hujan direkodkan.

"Jika keadaan tidak berubah dengan trend bacaan semakin menurun sehingga paras kritikal iaitu 12.20m, pintu air di sini kemungkinan ditutup sepenuhnya.

"Jika diikutkan, musim Monsun Timur Laut sudah berakhir hari ini dan sudah memasuki musim peralihan dan kita berharap pada April depan, keadaan akan berubah sedikit dan menambah sekiranya keadaan cuaca panas kering berlarutan empangan Bukit Kwong turut berdepan risiko ditutup,” katanya.

Beliau berkata masalah itu kini dalam pemantauan Bahagian Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal JPS.

Fenomena seperti ini pernah berlaku pada 2011 akibat El Nino dan 2016 lalu atas faktor sama iaitu akibat cuaca panas kering selain ketiadaan hujan. - Bernama