Forestieri gembira menang piala sulung bersama JDT

Pemain KL City FC Giancarlo Gallifuoco mengasak pemain JDT Forestieri Fernando Martin ketika perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, pada Sabtu. Foto Bernama
Pemain KL City FC Giancarlo Gallifuoco mengasak pemain JDT Forestieri Fernando Martin ketika perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

SETELAH mengharungi kerjaya selama 15 tahun, bekas penyerang Udinese dan Watford, Fernando Forestieri, akhirnya memenangi piala sulungnya selepas membantu pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mempertahankan Piala Sumbangsih untuk kali kelima berturut-turut, malam tadi (Sabtu).

Warganegara Argentina berumur 32 tahun itu berkata, beliau sangat gembira sehingga seperti mahu mengalirkan air mata apabila wisel penamat ditiupkan di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor.

Forestieri berkata, sepanjang kerjayanya, termasuklah bermain dalam liga terbaik dunia seperti Siri A di Itali dan Liga Premier Inggeris, beliau belum pernah meraih mana-mana piala, sekali gus menjadikan Piala Sultan Haji Ahmad Shah sangat bermakna buatnya.

"Saya sangat gembira dan saya mahu berterima kasih kepada jurulatih, kepada bos yang membawa saya ke sini.. dan saya hanya mahu teruskan usaha, membantu rakan sepasukan. Saya sangat teruja untuk menyumbang lebih lagi kepada kelab ini,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.

JDT menewaskan KL City 3-0 bagi merangkul kejuaraan Piala Sumbangsih buat kali ketujuh dalam lapan musim, menjelang perlawanan pertama kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2022) mereka menentang Penang FC pada 4 Mac.

Apa yang lebih manis ialah Forestieri berjaya mencipta jaringan pada minit ke-31 selepas gol pendahuluan JDT oleh Muhamad Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-26, manakala pemain gantian Mohd Afiq Fazali menjaringkan gol ketiga pada minit ke-84.

Meskipun mempunyai rekod beraksi dalam liga terbaik di Eropah, Forestieri berkata, dia tidak pernah beranggapan bahawa dia lebih baik atau yang terbaik berbanding pemain JDT yang lain.

"Di sini lebih sukar, cuaca, pemain pertahanan, seperti malam ini, sangat sukar bermain menentang mereka kerana mereka sentiasa berada dalam kotak (penalti) dan ia bukan permainan yang mudah.

Artikel Berkaitan:

"Ia adalah liga yang berbeza, ya, saya ada pengalaman namun saya perlu menyesuaikan diri kerana sama ada saya datang dari liga terbaik atau tidak, tidak penting, kerana di sini berbeza, saya perlu tahu peraturannya, bagaimana mereka (lawan) bermain,” katanya.

Forestieri merupakan antara lima muka baharu yang menandatangani kontrak dengan JDT untuk menguatkan skuad itu bagi menghadapi musim 2022, iaitu termasuk penyerang Bienvenido Maranon dan pemain pertahanan Carli de Murga. - Bernama