Status projek perumahan generasi kedua Felda jadi tanda tanya

Peneroka generasi kedua Felda Seri Jaya, Bukit Serampang di sini, menuntut agar projek pembinaan perumahan untuk mereka bagi fasa dua dilaksanakan segera. (Gambar kecil: Abdullah; Abd Ghani dan Anwar)
Peneroka generasi kedua Felda Seri Jaya, Bukit Serampang di sini, menuntut agar projek pembinaan perumahan untuk mereka bagi fasa dua dilaksanakan segera. (Gambar kecil: Abdullah; Abd Ghani dan Anwar)
A
A
A

BUKIT KEPONG - Peneroka generasi kedua Felda Seri Jaya, Bukit Serampang di sini, menuntut agar projek pembinaan perumahan untuk mereka bagi fasa dua dilaksanakan segera.

Ketua kampung Felda berkenaan, Abd Ghani Abd Molok berkata, status projek membina 157 unit rumah itu mencetuskan tanda tanya apabila ia belum diusahakan sehingga sekarang.

“Bagi fasa pertama, sebanyak 101 unit rumah telah diterima oleh generasi kedua di sini pada 10 tahun lalu. “Untuk fasa dua pula, yang sudah diluluskan adalah 157 unit. Tapi setakat ini tak nampak apa-apa, tak tahu apa cerita (status pembinaan).

“Sebab itu kami tertanya-tanya apa status projek ini dan menggesa agar ia dilaksanakan segera kerana masih ramai perlukan rumah sendiri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.

Seorang peneroka generasi kedua, Abdullah Semani, 67, berkata, tapak untuk pembinaan kawasan perumahan fasa kedua itu telah disediakan dan digazet.

Menurutnya, status projek tersebut difahamkan ‘tergantung’ selepas tampuk pemerintahan negara berubah beberapa kali.

Bagi seorang belia, Anwar Musa, 28, perumahan baharu amat diperlukan golongan muda di tanah rancangan terbabit.

“Jadi, kita memerlukan tempat tinggal yang lebih selesa. Saya berharap agar proses proses pembinaan perumahan fasa kedua ini dipercepatkan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: