Henti aktiviti luar kelas jika jerebu semakin teruk

Kok Kiew ditemui media ketika Persidangan Pertama Penggal Kedua DUN Melaka Ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.
Kok Kiew ditemui media ketika Persidangan Pertama Penggal Kedua DUN Melaka Ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Pihak sekolah diminta menghentikan sebarang aktiviti luar kelas sekiranya keadaan jerebu di negeri ini bertambah buruk atau mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dengan bacaan melebihi 150.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Tey Kok Kiew berkata, arahan itu dikeluarkan bagi menggelak keadaan buruk terhadap kesihatan murid dan pelajar malah pengumuman terkini menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung bacaan IPU di negeri ini semakin meningkat berbanding semalam.

Menurutnya, kualiti udara di beberapa kawasan seperti di Bukit Rambai dan Alor Gajah menunjukkan bacaan tinggi dan pihak berkenaan diingatkan untuk mengambil tindakan sewajarnya terutamanya apabila kualiti udara berada dalam kategori tidak sihat.

"Jika fenomena jerebu semakin teruk dan mencecah IPU antara 101 hingga 200, sekolah perlu hentikan semua aktiviti kokurikulum dan di luar bilik darjah.

"Dalam masa sama akan menggesa pihak berkenaan menutup operasi institusi pendidikan termasuk tadika dan taska serta-merta jika bacaan mencecah melebihi 200," katanya ketika sidang media berhubung jerebu di negeri ini.

Terdahulu, Kok Kiew (DAP-Banda Hilir) ditemui pada Persidangan Pertama Penggal Kedua DUN Melaka Ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

Tambah Kok Kiew, semua agensi yang terlibat seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sentiasa bersiap siaga dalam berdepan dengan fenomena jerebu sekali gus memastikan keadaan kepada lebih baik.

Semakan laman web IPU, Melaka merekodkan bacaan tidak sihat iaitu 103 di Alor Gajah dan 112 di Bukit Rambai, manakala di Pahang, 192 di Rompin dan 157 di Balok Baru, Kuantan, setakat jam 12 tengah hari, tadi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, EXCO Kesihatan dan Anti Dadah, Low Chee Leong turut prihatin dan mengambil inisiatif mengagihkan 300 topeng muka jenis N95 kepada pengamal media menerusi Kelab Media MASSA Melaka (KEMM) sepanjang berlangsung persidangan itu.