Sarawak manifestasi konsep citrawarna: Abang Jo

Dua penari berpakaian tradisional suku kaum Sarawak menaiki perahu penambang pada perasmian Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Tebingan Sungai Kuching, malam Sabtu. - Foto Bernama
Dua penari berpakaian tradisional suku kaum Sarawak menaiki perahu penambang pada perasmian Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Tebingan Sungai Kuching, malam Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kepelbagaian budaya, bahasa dan bangsa di Sarawak menjadi manifestasi kepada konsep Citrawarna, kata Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata keunikan Sarawak membuktikan negeri itu dengan sendirinya bersifat Citrawarna sama seperti karnival Citrawarna Keluarga Malaysia yang dibawa oleh Kerajaan Persekutuan.

"Sarawak Bumi Kenyalang ini hampir sama besar dengan Semenanjung dan terdiri daripada 12 bahagian pentadbiran. Bahagian Kapit contohnya, hampir sama besar dengan Negeri Pahang.

"Dengan kawasan yang luas, sudah pasti Sarawak diwarnai pelbagai keunikan masyarakat dan alam sekelilingnya,” kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Tebingan Kuching malam Sabtu.

Karnival empat hari, yang bermula Khamis lepas bertema ‘Temasya Kepelbagaian Budaya’ itu, diadakan kembali dan Kuching menjadi lokasi pertama selepas hampir empat tahun tidak berlangsung.

Karnival itu menyediakan pesta yang penuh warna-warni dengan pelbagai program serta aktiviti pelancongan selain persembahan seni dan budaya Malaysia.

Abang Johari turut mengalu-alukan pengunjung dari luar Sarawak khususnya Semenanjung Malaysia untuk datang ke negeri itu bagi melihat sendiri dan merasai keunikan Bumi Kenyalang.

"Datanglah untuk menikmati mi kolok, ayam pansoh, laksa sarawak, kek lapis dan sebagainya yang mungkin tidak terdapat di tempat lain.

Artikel Berkaitan:

"Kuching juga boleh diberi gelaran sebagai Bandaraya Budaya dengan siapnya Muzium Budaya Borneo iaitu muzium budaya yang terbesar di negara ini yang akan dibuka kepada awam tidak lama lagi,” katanya. - Bernama